BESUT: Usahawan hartanah bersama adiknya mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan khianat dengan merosakkan sebuah kereta Perodua Bezza pada 23 Oktober lalu.
Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 38, dan adiknya Mohd Mustakim Abdullah @ Ali, 31, membuat pengakuan itu serta minta dibicarakan selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Ahmad Fadhli Mahmud.
Mengikut pertuduhan, mereka didakwa melakukan perbuatan khianat dengan sengaja merosakkan kereta Perodua Bezza milik seorang wanita sehingga menyebabkan kerosakan dengan jumlah kerugian RM5,000.
Azlan dan Mustakim didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan rumah di Kampung Pengkalan Buluh, Jalan Tok Raja, di sini, kira-kira jam 11 malam pada 23 Oktober lalu.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
Peguam Ahmad Adha Amir Yasser tidak membuat rayuan jumlah jaminan dikurangkan.
Mahkamah membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin setiap seorang serta syarat tambahan tidak boleh mengganggu saksi serta mangsa.
Sebutan semula kes pada 24 November 2025 di Mahkamah Majistret Besut untuk serahan dokumen. – Berita Harian
