Mahkamah dan Jenayah

Polis kesan lelaki ‘skodeng’, rakam video peniaga wanita dalam bilik mandi inap desa

KUALA TERENGGANU: Hajat seorang peniaga wanita bercuti dan membuat penggambaran baju Melayu di sebuah inap desa di daerah ini tergendala apabila wanita itu dipercayai menjadi mangsa ‘skodeng’ ketika berada di dalam bilik mandi.

Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa yang berusia 35 tahun dari Ampang, Selangor membuat laporan polis mengenai kejadian itu pada 12.09 tengah hari semalam.

Menurutnya, wanita itu mendakwa dia ternampak tangan seseorang sedang memegang telefon bimbit di tingkap bilik mandi inap desa di Manir dekat sini, pada 12.30 tengah malam Selasa lalu.

Katanya, mangsa kemudiannya menjerit memanggil suaminya yang ketika itu berada di dalam bilik tidur.

“Mangsa dan suaminya kemudiannya mencari di sekitar kawasan inap desa sebelum melihat kelibat seorang lelaki memakai baju T-shirt warna kelabu sedang melarikan diri dengan menaiki sebuah motosikal.

“Selepas itu, mangsa menghubungi pemilik inap desa dan memaklumkan kejadian itu,” katanya.

Menurutnya, selepas kejadian seorang lelaki yang juga pekerja inap desa berkenaan datang untuk berjumpa dengan mangsa, lelaki berkenaan mengaku merakam video mangsa di dalam bilik air terbabit.

Katanya, mangsa kemudiannya melihat telefon bimbit milik lelaki berkenaan namun tiada rakaman videonya kerana lelaki itu memberitahu sudah memadam video berkenaan.

“Lelaki itu juga menyerahkan telefon bimbit miliknya kepada mangsa sebagai bukti supaya rakaman video yang diambil tidak disebarkan.

“Polis sudah merakam percakapan suami mangsa dan mereka dikatakan menyewa inap desa itu selama empat hari bermula dari 25 hingga 28 Ogos lalu,” katanya.

Menurutnya, siasatan di tempat kejadian mendapati lokasi kejadian merupakan sebuah rumah dua tingkat dan terdapat lima bilik tidur, manakala mangsa difahamkan menginap di dalam bilik utama.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 509 dan 447 Kanun Keseksaan serta Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955, manakala suspek berusia 30-an masih dikesan bagi membantu siasatan. – Harian Metro

Related Posts