TAIPING: Seorang warga emas cedera parah ditetak dengan parang oleh seorang lelaki ketika berada dalam Surau Nurul Hidayah, Bukit Jana, Kamunting, di sini, petang tadi.
Ketua Polis Daerah Taiping, Asisten Komisioner Mohamad Nasir Ismail, berkata pihaknya menerima laporan pada jam 3.13 petang mengenai seorang lelaki berusia 68 tahun yang juga siak surau berkenaan diserang dengan parang.
“Hasil siasatan mendapati mangsa berada di kawasan surau tersebut apabila secara tiba-tiba telah datang seorang lelaki yang dikenali berusia 55 tahun dengan membawa sebilah parang lalu menetak mangsa beberapa kali di bahagian kepala dan tangan,” katanya dalam kenyataan.
Katanya, mangsa mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan lanjut di Hospital Taiping.
Beliau berkata, motif kejadian dipercayai berpunca daripada ketidakpuasan hati suspek terhadap mangsa dan siasatan juga mendapati suspek adalah pesakit psikiatri serta pernah mendapatkan rawatan di hospital.
Mohamad Nasir berkata, bertindak atas laporan, polis menahan suspek jam 4.30 petang di kawasan Kamunting.
“Suspek berusia 55 tahun adalah pesakit psikiatri. Siasatan rekod lampau mendapati dia mempunyai 16 rekod jenayah dan narkotik. Ujian air kencing juga mendapati suspek positif dadah jenis Morphine.
“Suspek kini ditempatkan di lokap IPD Taiping manakala permohonan reman akan dibuat esok di Mahkamah Majistret Taiping,” katanya.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, saksi kejadian, Alif Osman Yeop, 63, yang juga bilal surau itu menyaksikan rakannya, Normuda Mohd Noor, 68, yang juga bendahari surau tersebut diserang.
“Sewaktu kami sedang menyiapkan persiapan untuk majlis malam tadi, lelaki itu datang menaiki motosikal dalam keadaan marah-marah terus menetak Pak Uda.”
“Mangsa yang terkejut tidak sempat berbuat apa-apa dan rebah selepas terkena tetakan parang suspek.
“Saya cuba menghentikannya menggunakan bangku surau namun suspek bertindak mengacukan parangnya.
“Akibat kejadian itu Pak Uda mengalami kecederaan parah di kepala dan lengan kanan sebelum suspek bertindak melarikan diri,” katanya. – Berita Harian
