Mahkamah dan Jenayah

Nahas pelajar UPSI: Pemandu bas akan direman selepas keluar hospital

IPOH: Perintah reman terhadap pemandu bas yang terbabit dalam kemalangan ngeri sehingga mengorbankan 15 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), semalam akan dilakukan selepas lelaki itu dibenarkan keluar dari hospital.

Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin berkata, pemandu berusia 42 tahun itu kini sedang menerima rawatan di Hospital Taiping.

“Kita perlu tunggu dia keluar hospital sebelum mengambil tindakan selanjutnya.

“Dia sedang menerima rawatan di Hospital Taiping,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Dalam sidang media semalam Noor Hisam dilapor berkata pemandu berkenaan mengalami kecederaan pada tangan.

Beliau dipetik berkata, pihak polis juga masih belum mengambil keterangan daripada lelaki berkenaan.

Selain pemandu berusia 42 tahun itu, seorang kelindan bas dan 42 pelajar UPSI turut berada di dalam bas itu.

Siasatan awal mendapati bas terbabit melanggar bahagian belakang sebuah Perodua Alza sebelum pemandunya hilang kawalan dan kenderaan itu terbabas. – Harian  Metro

Related Posts