KUALA LUMPUR: Hutan simpan di negeri Pantai Timur kini menjadi sasaran pelombong emas haram.
Bagi menyulitkan kegiatan itu dikesan pihak berkuasa, aktiviti secara berkumpulan atau bersindiket itu dipercayai berselindung di sebalik aktiviti yang sah seperti pertanian mahu pun perlombongan mineral lain sebelum meneroka perlombongan emas secara haram di kawasan berhampiran.
Bukan itu sahaja, dalang akan merekrut tonto dengan bayaran sejumlah wang bagi memantau kehadiran pihak berkuasa.
Setiap lokasi akan ditinjau terlebih dahulu bagi mengesan ‘lubuk’ emas dengan lebih tepat sebelum membawa masuk jentera berat dan pelbagai peralatan perlombongan.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM), Datuk Zahari Ibrahim berkata, lokasi yang menjadi sasaran ialah hutan simpan yang jauh dan terpencil, namun memiliki sumber mineral emas.
Katanya, kemungkinan suspek akan masuk dahulu dan meninjau untuk kenal pasti kawasan terbabit.
“Apabila kawasan telah dikenal pasti, sindiket akan membawa masuk jentera termasuk jengkaut, excavator (jentera pengorek), kenderan pacuan empat roda selain peralatan seperti palong, pam air serta penjana elektrik.
“Kerja-kerja itu juga dilakukan dengan melibatkan warga asing,” katanya eksklusif kepada Sinar Harian ketika ditemui di Ibu Pejabat JPSM di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, berdasarkan kes yang direkodkan di Kelantan, suspek berselindung dengan aktiviti sah seperti perladangan.
Menurutnya, apabila ‘akses’ itu telah ada, ia akan memudahkan aktiviti haram itu dilakukan.
“Suspek tahu selok belok di lokasi yang memiliki sumber emas dan dia akan gunakan kesempatan itu untuk melombong tidak kira siang atau malam.
“Kita juga tidak tolak kemungkinan suspek terbabit merupakan pelombong yang sah sebelum ini tetapi pada masa sama dia ambil kesempatan secara haram teroka kawasan berhampiran.
“Ini kerana kos bagi aktiviti perlombongan berskala besar melibatkan jumlah kos yang tinggi dan kerana itu suspek ambil kesempatan itu,” ujarnya.
Jelasnya, semua ini merupakan aktiviti bersampingan seperti perladangan atau mineral lain seperti batu dan pasir.
“Contohnya bila kawasan A itu dibenarkan dengan lesen, tapi kawasan B tidak boleh, namun bila proses eksplorasi itu dia jumpa emas, dia akan buat kegiatan itu secara tidak sah di kawasan B,” jelasnya.
Dedahnya lagi, kaedah perlombongan berskala besar ini melibatkan penggalian hingga pembukaan kawasan yang banyak selain penggunaan bahan kimia tertentu.
“Selain itu sindiket juga berpindah-pindah selain menggunakan pekerja asing tanpa dokumen,” tambahnya.

Tonto pantau penguat kuasa
Ketika ditanya kemungkinan penglibatan tonto, Zahari tidak menafikan perkara itu.
“Tonto akan menghalang penguat kuasa hadir selain melambatkan proses kemasukan penguatkuasaan.
“Mereka (tonto) ini diupah, dia ini biasanya akan duduk di laluan masuk dan melibatkan sindiket haram yang besar,” katanya.
Selain itu, Zahari berkata, pihaknya juga mengesan terdapat aktiviti perlombongan emas haram yang dilakukan individu.
“Bagi aktiviti berskala kecil, suspek gunakan kaedah tradisional iaitu mendulang.
“Bagi yang bergerak secara individu ini, mereka mempunyai pengalaman dalam mengenal pasti lokasi,” katanya.
Ujar Zahari, berdasarkan rekod tangkapan bagi tempoh dua tahun sejak 2023, pihaknya mendapati antara peranan suspek ialah pengusaha perlombongan haram selain pekerja.
“Dalam tempoh itu, kita telah menyita pelbagai asset termasuk peralatan dan jentera dianggarkan bernilai RM66,500,” katanya.

Pemantauan satelit
Menurut beliau, aktiviti perlombongan emas sama ada berskala besar atau kecil yang dipaparkan di media sosial dipercayai menggalakkan kegiatan itu untuk dilakukan secara haram.
“Kita ada beberapa kawasan hotspot berdasarkan kes yang berlaku sebelum ini selain kawasan yang dikenal pasti melalui peta mineral setiap negeri.
“Di peringkat penguatkuasaan kita akan kenal pasti kawasan perlombongan haram, jika emas kebanyakan di Pahang dan Kelantan.
“Bagaimanapun setakat ini tiada laporan agresif ancaman daripada pelombong haram,” dedahnya.
Kata Zahari, pemantauan akan dilakukan menerusi penggunaan satelit di ibu pejabat untuk kenal pasti lokasi pembukaan hutan.
“Perlombongan emas haram ini akan buat pembukaan besar dengan penebangan pokok sekurangnya suku ekar dan kita boleh kesan berdasarkan satelit.
“Jika ada sebarang pembukaan hutan yang agak ganjil di setiap negeri, semakan lanjut akan dibuat untuk kenal pasti apakah aktiviti yang sedang dilakukan. Selain itu, rondaan juga dilaksanakan bagi mengawal individu tidak berkaitan menceroboh masuk.
“Ini kerana kes berskala besar akan melibatkan pembukaan kawasan untuk pembinaan kolam, palong dan rumah pekerja,” jelasnya.
Menurutnya lagi, bekas kawasan perlombongan akan mengambil masa hendak dipulihkan kerana keadaan tanah yang sudah tidak subur dan gersang.
Tambah beliau, JPSM juga sedang meneroka sistem teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam usaha menjaga khazanah hutan negara.
“Perlombongan haram ini ada potensi untuk meningkat dan berlaku setiap tahun kerana faktor nilai emas yang tinggi.
“Perlombongan haram menjejaskan sistem hutan kerana penggunaan bahan kimia bagi menguraikan emas melalui beberapa proses itu merosakkan tanah selain kedalaman penggalian,” katanya.
Malah, jelasnya, waktu pengoperasian sindiket juga bergantung kepada tempat dan kemungkinan hingga berbulan.

RM5 juta per hektar
Zahari berkata, anggaran keluasan hutan simpan yang terjejas merangkumi nilai biofizikal dan ekonomi selain penyerapan karbon, biodiversiti, stok kayu serta fungsi hidrologi serta ekologi.
“Nilainya ini tidak kurang daripada RM5 juta setiap hektar.
“Lokasi perlombongan haram dikategorikan sebagai hotspot kerana aktiviti haram ini berisiko tinggi dan memberi impak besar terhadap alam sekitar serta keselamatan awam.
“Ia menyebabkan kerosakan ekosistem, pencemaran air, hakisan tanah serta ancaman biodiversiti selain risiko sasaran berulang oleh sindiket atau individu untuk melakukan semula perlombongan haram di situ,” ujarnya.
Tegasnya, kawasan terbabit perlu dipantau oleh pegawai penguatkuasaan hutan bagi membanteras aktiviti haram.
Kata beliau, masyarakat usah sambil lewa menceroboh masuk hutan simpan dan menjalankan perlombongan haram.
“Antara langkah yang dilaksanakan bagi menangani kegiatan ini ialah rondaan dan penguatkuasaan secara berkala termasuk kawasan hotspot perlombongan emas.
“JPSM akan mengambil tindakan segera ke atas sebarang aduan awam yang diterima selain kerjasama dengan agensi penguat kuasa lain seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia (JMG), Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Imigresen Malaysia (JIM),” katanya.
Katanya lagi, JPSM juga memasang kamera perangkap selain pemantauan menggunakan imej satelit serta dron di lokasi strategik.
“JPSM juga akan membuat pemusnahan peralatan dan tapak operasi perlombongan emas haram bagi mengelakkan pengulangan kes selain tindakan pendakwaan di mahkamah,” tegasnya.
Menurut Zahari, Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) yang memfokuskan hidupan liar juga berperanan sebagai pemberi maklumat kepada JPSM sekiranya mengesan aktiviti mencurigakan termasuklah pembukaan tanah, pembinaan haram dan perlombongan.
“Saya ingatkan kepada orang ramai, tidak mudah lakukan aktiviti haram kerana penguatkuasaan dengan tegas sering dilaksanakan.
“Apa yang patut dijiwai rakyat Malaysia ialah menjaga khazanah hutan bumi kita, uruskan dengan baik kerana kegiatan tidak bermoral ini akan mengakibatkan khazanah negara hilang.
“Statistik tangkapan melibatkan tempatan dan asing menunjukkan perlunya pendekatan lebih tegas dalam membanteras kegiatan ini bagi melindungi ekosistem hutan yang terancam,” tambahnya. – Sinar Harian