Negeri

Operasi HRA: 15,995 kenderaan diperiksa di Terengganu

KUALA TERENGGANU: Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Terengganu memeriksa sebanyak 15,995 kenderaan dalam Operasi Khas Hari Raya Aidilfitri (HRA)  2025 di seluruh negeri ini bermula 24 Mac hingga kelmarin.

Pengarahnya, Mohd. Zamri Samion berkata, hasil daripada pemeriksaan tersebut,  sebanyak 1,518 kenderaan telah diambil tindakan atas pelbagai kesalahan jalan raya.

Pada masa sama, menurutnya,  pihaknya mengeluarkan 3,337 saman kepada pemandu kenderaan terlibat.

“Antara kesalahan yang paling popular adalah tiada lesen memandu kompetensi (CDL), lesen kenderaan motor (LKM), tiada pelindungan insurans, cermin gelap dan lain-lain kesalahan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang akhbar Operasi Khas HRA Tahun 2025 di Plaza Tol Gemuruh, Lebuhraya Pantai Timur 2, di sini, hari ini.

Selain itu, Mohd. Zamri memberitahu, sebanyak 47 kenderaan iaitu 39 motosikal, enam kereta dan dua lagi lain-lain kenderaan telah disita dalam operasi tersebut.

Katanya, jumlah kenderaan yang melakukan kesalahan teknikal termasuk ubah suai kenderaan pula sebanyak 133 buah.

Tambahnya, seorang pemandu bas ekspres turut ditahan setelah gagal saringan air kencing ketika melakukan pemeriksaan di Terminal Bas Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, baru-baru ini.

“Operasi Khas HRA itu bertujuan untuk memantau, mengesan dan mengambil tindakan terhadap pengguna jalan raya yang melanggar peraturan atau undang-undang jalan raya,” ujarnya. – Suara Timur

Related Posts