KUALA TERENGGANU:Ā Selepas lebih dua dekad membudayakan sains, Pusat Sains & Kreativiti Terengganu (PSKT) kini mengorak langkah dalam sektor pelancongan apabila dinobatkan sebagai Best STEM Edutainment Centre pada Anugerah Industri Pelancongan 2026, Sabtu lepas.
Pengiktirafan anjuran Malaysia International Tourism Development Association (MiTDA) itu sekali gus mencerminkan peranan PSKT yang semakin berkembang daripada sebuah pusat pendidikan dan pembudayaan sains kepada destinasi edupelancongan yang mampu menarik kunjungan pelancong.
Ketua Pegawai Eksekutif PSKT, Mohd Huzairil Nizam Ibrahim berkata pengiktirafan berkenaan membuktikan pendekatan menggabungkan pendidikan sains dengan elemen hiburan dan pengalaman mampu menarik minat masyarakat untuk berkunjung, sekali gus berpotensi dikembangkan sebagai produk pelancongan setempat.

Katanya, jumlah pengunjung yang direkodkan selama ini menjadi antara penanda aras penting bagi menilai sejauh mana PSKT terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
āSelama ini, jumlah pengunjung menjadi antara penanda aras kami untuk melihat sejauh mana PSKT terus mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
āAnugerah ini memberi pengiktirafan terhadap usaha yang dilakukan dan pada masa sama membuka ruang untuk PSKT dilihat dalam konteks pelancongan, selain peranannya dalam pendidikan dan pembudayaan sains,ā katanya kepada Suara Timur semalam.

Menurutnya, PSKT akan terus memperbanyakkan program yang mampu menarik kunjungan orang ramai, selain menawarkan pengalaman pembelajaran yang berbeza kepada pelbagai lapisan masyarakat.
Antara program yang mendapat sambutan menggalakkan ialah Minggu Sains Negara 2026 Zon Timur yang berlangsung di PSKT pada Julai lepas.
Karnival sains selama tiga hari anjuran Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) itu merekodkan kehadiran 20,419 pengunjung dari dalam dan luar negara, sekali gus melepasi sasaran awal sebanyak 15,000 orang.
Jumlah berkenaan merupakan rekod kehadiran tertinggi bagi penganjuran Minggu Sains Negara Zon Timur di PSKT dalam tempoh empat tahun.
PSKT dilancarkan pada Mac 2005 dan pada peringkat awal beroperasi di Terengganu Trade Centre (TTC), sebelum berpindah ke Kampung Laut, Kuala Terengganu pada April 2016 untuk beroperasi di fasiliti sendiri. ā Suara Timur
