KUALA LUMPUR: Harga emas dijangka meningkat sehingga 10 peratus lagi menjelang September ini, dipacu oleh jangkaan penurunan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed).
Presiden Persatuan Emas Malaysia (MGA), Datuk Seri Louis Ng, berkata logam berharga itu berpotensi untuk terus melonjak susulan perbezaan kadar faedah yang semakin mengecil antara dolar AS dan Ringgit Malaysia, sekali gus merangsang permintaan terhadap emas.
Menurut beliau, harga emas kini berada sekitar AS$3,370 seauns, mencatat peningkatan sebanyak 28 peratus berbanding AS$2,630 seauns pada awal tahun. Kenaikan itu dipacu oleh ketegangan geopolitik dan ketidaktentuan pasaran global.
Dalam tempoh tiga bulan lalu, harga emas bergerak mendatar dan saya menjangkakan lonjakan berlaku selepas Fed mengumumkan pemotongan kadar faedah yang dijangka sekitar September,” katanya dalam program “The Nation” terbitan Bernama TV.
Ng yang juga Pengerusi Eksekutif Public Gold Marketing Sdn Bhd berkata, walaupun konflik seperti perang Rusia-Ukraine, ketegangan antara AS dan Israel terhadap Iran serta perang perdagangan AS-China pernah mendorong permintaan emas sebagai aset selamat, momentum daripada faktor geopolitik itu kini semakin reda.
Katanya, pemotongan kadar faedah Fed dijangka menjadi pemacu utama kepada lonjakan harga emas selepas ini.
“Berdasarkan jangkaan itu, harga emas selepas September boleh meningkat sekitar 10 peratus lagi, iaitu antara AS$300 hingga AS$400 seauns daripada paras semasa. Kemungkinan kenaikan ini sangat tinggi,” katanya. – Berita Harian