KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu mengarahkan Syarikat Air Terengganu (SATU) meneliti semula pelarasan tarif air yang berkuat kuasa Ogos lalu selepas mengambil kira aduan serta rintihan rakyat yang terkesan dengan kenaikan itu.
Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zulkifli Ali berkata, mesyuarat Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) yang bersidang pada Rabu telah membincangkan perkara berkenaan secara menyeluruh dengan mengambil kira pertimbangan adil untuk semua pihak.
Menurutnya, isu beban kenaikan kos sara hidup rakyat ekoran pelarasan tarif serta peningkatan kos operasi yang ditanggung SATU menjadi antara fokus utama perbincangan kerajaan negeri.
“Mesyuarat MMKN bersetuju supaya SATU membuat penelitian dari segenap aspek dan mengemukakan pelan tindakan baharu kepada kerajaan negeri dalam masa terdekat agar segala aduan pengguna yang terkesan dapat disantuni sebaiknya,” katanya menerusi surat rasmi dikemukakan kepada SATU pada Rabu.
Sebelum ini, SATU menjelaskan pelarasan tarif air dibuat selaras dengan garis panduan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) bagi memastikan kelestarian operasi, termasuk kos penyelenggaraan aset, rawatan air serta peningkatan mutu perkhidmatan kepada pengguna.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Abdul Karim Endut memaklumkan syarikat itu memerlukan peruntukan sekitar RM500 juta bagi kerja pembaikan dan penggantian jajaran paip usang serta kritikal di seluruh negeri.
Menurutnya, daripada keseluruhan 8,600 kilometer jajaran paip, kira-kira 1,300 kilometer adalah paip asbestos cement (AC) yang telah melebihi jangka hayat, manakala hampir 580 kilometer dikenal pasti sebagai paip kritikal yang perlu diganti segera.
Beliau turut menjelaskan, hampir 40 peratus kos operasi SATU melibatkan penggunaan tenaga elektrik dengan perbelanjaan sekitar RM70 hingga RM80 juta setahun, selain tambahan beban akibat kenaikan tarif elektrik dan peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST). – Sinar Harian