KUALA TERENGGANU: Bekas pengarah sebuah jabatan kerajaan kerugian lebih setengah juta ringgit setelah terpedaya dengan skim pelaburan dalam talian tidak wujud.
Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berkata, mangsa, pesara berusia 71 tahun itu ditipu sindiket pelaburan dalam talian bermula pada 23 Mei lalu selepas tertarik dengan iklan di Facebook.
Menurutnya, mangsa hanya berurusan melalui dalam talian dan tidak berjumpa atau bersemuka dengan mana-mana individu yang berkaitan dengan pelaburan berkenaan.
Katanya, mangsa difahamkan mengikut arahan untuk mendaftar satu akaun di aplikasi di Facebook, sebelum membuat 100 transaksi secara berperingkat ke dalam akaun di aplikasi yang didaftarnya itu.
“Mangsa selepas itu didorong oleh sindiket untuk membuat pindahan mata wang Bitcoin dalam akaun di aplikasi miliknya sebelum diarahkan memindahkan ke akaun lain tidak dikenali.
“Pada 20 hingga 27 Ogos lalu, mangsa diarahkan membuat tujuh transaksi pindahan wang ke satu akaun bank,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mangsa dijanjikan bayaran balik keuntungan mencecah AS$500,000, namun akibat terpedaya dengan helah sindiket, mangsa mengalami kerugian RM525,000.
Katanya, sumber kewangan digunakan mangsa dalam pelaburan itu adalah wang simpanannya.
Menurutnya, mangsa yang merasakan diperdaya kemudian membuat laporan polis dan kes itu disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – Suara Timur