Home Mahkamah dan Jenayah270 sindiket dadah tumpas, rampasan cecah RM3.1 bilion tahun ini

270 sindiket dadah tumpas, rampasan cecah RM3.1 bilion tahun ini

oleh suara timur

KUALA LUMPUR: Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) berjaya menumpaskan sebanyak 270 sindiket pengedaran dadah di seluruh negara sepanjang tempoh Januari hingga Khamis lalu.

Pengarah JSJN, Datuk Hussein Omar Khan berkata, sebanyak 609 operasi telah dilaksanakan di peringkat nasional yang membawa kepada penahanan 737 individu terlibat dalam pelbagai kegiatan pengedaran dadah.

“Berdasarkan risikan yang berkesan, JSJN turut berjaya menyerbu 19 makmal dadah haram dengan penahanan 52 individu termasuk empat ahli kimia,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan Op Gaharu di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, hari ini.

Menurut beliau, hasil operasi berkenaan menyaksikan rampasan dadah dan racun seberat 215 tan dengan nilai pasaran gelap dianggarkan mencecah RM3.1 bilion.

banner

Dalam tempoh sama, Hussein berkata, sebanyak 234,567 kertas siasatan telah dibuka di bawah Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Akta Racun 1952, melibatkan tangkapan seramai 255,248 individu.

“Daripada jumlah itu, 157,648 kes atau 67 peratus telah berjaya dituduh di mahkamah,” katanya.

Beliau berkata, JSJN juga berjaya melumpuhkan kekuatan kewangan sindiket dadah apabila aset bernilai RM141 juta disita manakala RM29 juta lagi dilucuthakkan.

“Tindakan ini bagi memastikan keuntungan haram hasil aktiviti jenayah tidak kembali digunakan untuk memperkukuh rangkaian sindiket,” jelasnya.

Tambah Hussein, seramai 808 individu turut ditahan di bawah Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985 bagi memutuskan rangkaian sindiket dan menghalang mereka daripada kembali terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah.

Dalam usaha menangani isu penagih berulang, beliau berkata, tindakan tegas turut diambil di bawah Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 terhadap 9,512 penagih.

“Hukuman yang dikenakan melibatkan penjara tidak kurang lima tahun dan tidak melebihi tujuh tahun serta sebatan sehingga tiga kali. Langkah berterusan ini telah berjaya menurunkan kadar jenayah indeks yang dilakukan oleh penagih dadah,” katanya.

Selain itu, sepanjang tahun ini, sebanyak 15 pelupusan barang kes dadah telah dilaksanakan dengan jumlah keseluruhan dadah dan racun yang dilupuskan mencecah 9,822 kilogram (kg).

Menurut Hussein, tiga jenis dadah utama berdasarkan berat tertinggi yang dilupuskan ialah methamphetamine seberat 1,591 kg, ganja (902 kg) dan heroin (681 kg). – Kosmo

Tinggalkan komen