Mahkamah dan Jenayah

Enam tokan dadah tumpas di Marang

MARANG: Enam lelaki disyaki pengedar dadah berjaya ditahan polis dalam empat siri serbuan berasingan di daerah ini, minggu lalu.

Ketua Polis Daerah Marang Superintendan Mohd Sofian Redzuan berkata, tangkapan pertama melibatkan tiga lelaki yang diberkas pada 16 Jun lalu di sebuah rumah di Kampung Gunung Kasim, Merchang.

“Ketiga-tiga suspek berusia 30 hingga 36 tahun dan hasil ujian air kencing mendapati mereka positif methamphetamine. Dua daripada mereka juga mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan dadah.

“Polis merampas 51.06 gram pil kuda dan 1.08 gram syabu dengan nilai pasaran RM3,500 serta menyita sebuah motosikal Yamaha 125Z bernilai kira-kira RM10,000. Ketiga-tiga suspek direman selama tujuh hari bermula 17 hingga 23 Jun,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Marang, di sini, hari ini.

Menurutnya, dalam serbuan kedua pada 17 Jun lalu, seorang lelaki berusia 30 tahun ditahan di ladang kelapa sawit di Kampung Alor Limbat, Bukit Payung.

“Suspek turut didapati positif methamphetamine. Polis merampas 57.1 gram pil kuda bernilai RM3,500 dan menyita sebuah motosikal Honda Wave bernilai RM10,000,” katanya.

Beliau berkata, serbuan ketiga pula dilakukan pada 21 Jun lalu di kawasan hutan di Kampung Batangan, di sini, yang menyaksikan penahanan seorang lelaki berusia 34 tahun.

“Suspek mempunyai tiga rekod lampau berkaitan dadah dan juga positif methamphetamine. Polis merampas 219.36 gram dadah bernilai anggaran RM8,000 dan menyita sebuah motosikal Honda EX5 bernilai RM3,000. Suspek direman dari 22 hingga 28 Jun ini,” katanya.

Mohd Sofian berkata, tangkapan terbaharu dibuat pada 22 Jun lalu di Kampung Wakaf Dua, Bukit Payung, di sini, membabitkan seorang lelaki berusia 36 tahun.

“Ujian air kencing mendapati suspek positif methamphetamine. Polis merampas 51.59 gram pil kuda dan 4.62 gram heroin dengan nilai keseluruhan RM1,400,” katanya.

Menurutnya, kesemua suspek disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

“Jumlah keseluruhan rampasan dadah dalam keempat-empat kes ini dianggarkan bernilai RM16,400 manakala sitaan melibatkan kenderaan berjumlah RM23,000.

“Kesemua suspek bekerja sendiri dan juga buruh kasar. Untuk rekod, sejak 1 Januari hingga 22 Jun lalu, IPD Marang berjaya membuat rampasan dadah bernilai RM483,417,” katanya. – Harian Metro

Related Posts