Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Enam pelajar sebuah sekolah menengah agama bantuan kerajaan di daerah ini direman selama tiga hari bermula hari ini bagi membantu siasatan kes pukul dan buli seorang pelajar lelaki tingkatan tiga, Julai lalu.
Perintah tahanan reman terhadap pelajar tingkatan empat itu dikeluarkan Majistret Sharifah Amirda Shasha Amir Sharifuddin bagi membolehkan polis melakukan siasatan mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan.
Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd. Razi Rosli ketika dihubungi mengesahkan kesemua suspek berusia 16 tahun itu ditahan kira-kira pukul 11.30 pagi semalam selepas hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kemaman bagi membantu siasatan.
Menurut Superintenden Mohd. Razi, mangsa yang berusia 15 tahun itu mendakwa dibuli dan dipukul di dalam bilik asrama oleh kesemua suspek terbabit kira-kira jam 1.30 pagi pada 30 Julai lalu di hadapan beberapa pelajar lain.
Dalam kejadian itu, pengadu mendakwa telah mengalami kecederaan ringan pada bahagian badan selepas dipercayai dipukul beberapa suspek terbabit.
Sehubungan itu, pengadu telah tampil membuat laporan polis pada 3 Ogos sebelum kesemua suspek terbabit ditahan pada Khamis.
Beliau memberitahu, kes disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan. – Suara Timur