BAYAN LEPAS: Lelaki bergelar Tan Sri yang ditahan di Pulau Pinang semalam kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram berkait skim pelaburan Ponzi di sebuah negara jiran dibawa ke pejabatnya, di Jalan Mahsuri Bayan Baru, hari ini.
Suspek yang berusia 53 tahun itu bawa polis dengan menaiki sebuah kenderaan dan dilihat tiba di perkarangan bangunan pejabatnya pada jam 4.20 petang.
Difahamkan tujuan suspek dibawa ke pejabatnya adalah bagi pemeriksaan premis dan dokumen.
Suspek yang dilihat memakai baju lokap berwarna oren itu kemudian dibawa keluar dari pejabatnya pada jam 6.05 petang.
Difahamkan juga, suspek turut dibawa ke rumahnya di Gelugor, dekat sini, bagi tujuan sama dan rampasan harta.
Sementara itu, Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Muhammed Hasbullah Ali mengesahkan suspek dibawa ke syarikatnya dan kediaman bagi membantu siasatan.
“Siasatan masih berjalan dan satu sidang media akan diadakan nanti berhubung tangkapan terbaharu ini dan perkembangan siasatan Op Northern Star,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Semalam Harian Metro melaporkan seorang lagi individu bergelar Tan Sri ditahan polis kerana disyaki terbabit dalam pengubahan wang haram berkait skim pelaburan Ponzi dinamakan pelaburan MBI. – Harian Metro