KUALA TERENGGANU: Seorang bekas guru besar di sebuah sekolah rendah di daerah Marang mengaku tidak bersalah atas tujuh pertuduhan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram (AMLA) berjumlah keseluruhan lebih RM28,000 di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Zalina Bidin, 47, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Hakim, Mohd. Azhar Othman.
Dua daripada pertuduhan itu di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA) dan lima lagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001.
Berdasarkan pertuduhan tersebut, guru besar itu didakwa melibatkan diri dalam transaksi yang melibatkan hasil daripada aktiviti haram pada tahun 2022 iaitu memberikan arahan untuk memindahkan wang berjumlah RM3,288 dan RM7,200 kepada akaun penerima yang diarahkan.
Sementara itu, lima pertuduhan lain di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA pula tertuduh didakwa telah menerima hasil daripada aktiviti haram pada tahun 2022, iaitu wang berjumlah RM18,144.60 yang telah dimasukkan ke dalam akaun bank milik tertuduh.
Tertuduh didakwa melakukan kesalahan itu antara Ogos hingga November 2022 di tiga buah bank berasingan di Kuala Terengganu.
Tertuduh jika disabitkan boleh dipenjarakan tidak lebih 15 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta yang mana lebih tinggi seperti yang diperuntukkan di bawah Seksyen 4(1) Akta yang sama.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ahmad Feisal Mohd. Azmi dan Maziah Mohaide
manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hazwan Hamidun.
Hakim membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 bagi kesemua tujuh pertuduhan tersebut dengan seorang penjamin.
Mohd. Azhar juga menetapkan sebutan semula pada 23 Mac depan. – Suara Timur