Mahkamah dan Jenayah

Budak perempuan 12 tahun koyak kepala diketuk dengan tukul besi, seorang lelaki ditahan

JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dipercayai mencederakan seorang kanak-kanak perempuan menggunakan tukul besi dalam kejadian di Flat Ungku Tun Aminah di sini, Sabtu lalu.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Balveer Singh Mahindar Singh, berkata polis mengesan rakaman video yang dimuat naik di sebuah laman sosial memaparkan seorang kanak-kanak perempuan mengalami pendarahan di kepala.

“Pada Sabtu lalu kira-kira jam 5.19 petang, Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa bahawa anak perempuannya diserang seorang lelaki menggunakan tukul besi.

“Bertindak atas maklumat, pada hari yang sama kira-kira jam 7.25 malam sepasukan polis berjaya menahan seorang lelaki warga tempatan berumur 39 tahun di kediamannya di sekitar Johor Bahru.

“Pada Sabtu lalu kira-kira jam 5.19 petang, Polis Daerah Johor Bahru Utara (JBU) menerima laporan daripada orang awam yang mendakwa bahawa anak perempuannya diserang seorang lelaki menggunakan tukul besi.

“Mangsa adalah kanak-kanak perempuan tempatan berusia 12 tahun telah dikejarkan ke Hospital Sultanah Aminah (HSA) di sini, dan kini dilaporkan dalam keadaan stabil.

“Mangsa mengalami kecederaan parah membabitkan koyakan di kulit kepala serta bengkak pada tangan kanan akibat serangan berkenaan,” katanya dalam kenyataan, di sini.

Terdahulu, tular video rakaman kamera litar tertutup (CCTV) berdurasi 2.19 saat yang memaparkan sekumpulan kanak-kanak bermain di bahagian bawah sebuah flat, sebelum seorang kanak-kanak meraung kesakitan dengan kepalanya dilihat berlumuran darah melarikan diri menaiki lif.

Mengulas lanjut, Balveer Singh berkata, semakan mendapati suspek memiliki pelbagai rekod jenayah lampau, termasuk dadah dan ujian air kencing ke atas suspek mendapati dia positif dadah.

“Suspek dibawa ke Mahkamah Johor Bahru dan direman tujuh hari bermula Ahad lalu hingga 2 Ogos ini,” katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu sengaja menyebabkan kecederaan menggunakan senjata atau benda merbahaya.

Jika disabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum sepuluh tahun atau denda atau sebatan atau dengan mana-mana dua hukuman itu.

“Justeru, orang awam diminta tidak melanggar undang-undang, bertindak rasional dan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan,” katanya. – Berita Harian

Related Posts