SUNGAI PETANI: Seorang lagi lelaki disyaki penjenayah ditembak mati selepas berbalas tembakan dengan polis di Bandar Puteri Jaya, di sini, malam tadi.
Suspek berumur 34 tahun itu disyaki mempunyai kaitan dengan dua lelaki yang ditembak mati di Jitra, pagi semalam.
Pemangku Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman Datuk Fadil Marsus berkata, lelaki itu ditembak dalam satu operasi khas oleh polis Bukit Aman dengan beberapa kontinjen negeri melibatkan semua jabatan dalam Polis Diraja Malaysia diketuai JSJ pada 7.50 malam.
“Apa yang berlaku hari ini, seorang lelaki yang dianggap sebagai ahli kumpulan yang terlibat dalam jenayah samun bersenjata api di beberapa negeri telah kita jumpai dan usaha untuk menangkapnya telah dijalankan serta berlaku halangan dan kejadian tembak-menembak sehingga menyebabkan penjenayah ditumpaskan,” katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian di sini, semalam.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap suspek, polis menemukan sepucuk pistol dan beberapa barangan lain.
Fadil berkata, suspek mempunyai lebih 30 rekod jenayah dipercayai terlibat dengan kumpulan penjenayah aktif melakukan jenayah samun kedai emas sejak 2022 yang melibatkan kerugian hampir RM6 juta.
Beliau berkata, polis percaya suspek turut disyaki terlibat dalam banyak lagi kes samun bersenjata api lain melibatkan kilang, premis perniagaan dan kedai emas di beberapa negeri.
Fadil berkata, polis mengesyaki suspek ialah ahli kumpulan penjenayah yang terdiri daripada belasan orang yang aktif melakukan pelbagai jenayah termasuk samun, gengterisme dan pengedaran dadah di beberapa negeri.
“Setakat risikan yang dilakukan, kita positif suspek ini juga terlibat dalam tiga kes samun yang terbaharu di Melaka, Negeri Sembilan dan Perak,” katanya.
Fadil berkata, pihak polis akan terus bertindak agresif untuk menahan semua penjenayah yang disyaki terlibat dalam jenayah kekerasan, terutamanya jenayah yang melibatkan senjata api.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan.
Pagi semalam, polis menembak mati dua lelaki disyaki penjenayah dalam kejadian berbalas tembakan di susur Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) berdekatan Bandar Darul Aman di Jitra.