Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu menahan seorang Exco kerajaan negeri kerana disyaki menyalahgunakan jawatan dan kedudukan bagi mengarahkan dua anaknya diambil bekerja di sebuah syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri ini.
Menurut sumber, suspek lelaki berusia lingkungan 60-an itu ditahan kira-kira jam 11.15 pagi ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Kemaman, hari ini.
“Siasatan awal mendapati suspek dipercayai melakukan perbuatan berkenaan pada tahun 2018 dan 2020,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Difahamkan, suspek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi salah satu kawasan di negeri ini didakwa menggunakan kedudukannya sebagai Exco dan Pengerusi Lembaga Pengarah sebuah syarikat untuk mengarahkan kedua-dua anaknya diterima bekerja di dua anak syarikat milik kerajaan negeri.
Sementara itu, Pengarah SPRM Terengganu, Hazrul Shazreen Abd Yazid ketika dihubungi mengesahkan penahanan tersebut.
Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta SPRM 2009 dan suspek dijangka dituduh dalam masa terdekat. – Suara Timur
