KUALA LUMPUR: Satu abad, seribu cerita. Itu gambaran buat insan bernama Tun Dr Mahathir Mohamad (Tun M), seorang negarawan yang menyambut ulang tahun kelahiran ke-100 hari ini.
Dilahirkan pada 10 Julai 1925 di Lorong Kilang Ais, Seberang Perak, Alor Setar, Kedah, beliau adalah anak bongsu daripada sembilan beradik yang lebih mesra dipanggil Che Det.
Dibesarkan dalam keluarga guru, Tun M mewarisi sifat disiplin tinggi dan semangat menuntut ilmu sejak kecil.
Beliau bersekolah di Kolej Sultan Abdul Hamid (KSAH), Alor Setar sebelum melanjutkan pengajian perubatan di King Edward VII College of Medicine, Singapura.
Sebagai doktor kerajaan pada awal kerjayanya, beliau kerap merawat rakyat marhain dan pengalaman dilalui membuka matanya terhadap keperitan hidup orang Melayu ketika itu.
Beliau dilantik sebagai Perdana Menteri keempat pada 16 Julai 1981 bagi menggantikan Perdana Menteri ketiga Tun Hussein Onn sebelum kembali memimpin negara pada 2018.
Pelantikan Tun M sebagai Perdana Menteri ketujuh ketika itu menjadikan beliau sebagai pemimpin tertua di dunia yang memegang jawatan berkenaan.
Sepanjang tempoh menerajui negara, banyak sumbangan diberikan dengan salah satu legasi terbesar adalah Dasar Pandang Ke Timur selain Wawasan 2020.
Namun, Tun M juga diuji apabila berdepan krisis kewangan Asia sekitar 1997-1998.
Kini, meskipun usia mencecah 100 tahun, Tun M masih aktif menulis buku, pelbagai platform di media sosial, hadir ke forum dan berkongsi pandangan mengenai pelbagai topik.
Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Dr Al-Amril Othman berkata, rahsia di sebalik kekuatan tubuh dan minda Tun M terletak pada gaya hidupnya yang sederhana, tetapi penuh disiplin sejak kecil.
Menurutnya, sikap Tun M yang sentiasa mengisi masa dengan perkara bermanfaat menjadi kunci kepada kesihatan fizikal dan mentalnya.
“Walaupun beliau seorang doktor, saya percaya disiplin tinggi dalam diri Tun M bukan sekadar daripada latar belakang perubatan, tetapi didikan keluarga dan beliau dibiasakan berdikari sejak kecil.
“Kalau kita berada dalam kapal terbang, mungkin ramai yang berehat, tetapi Tun M memilih untuk membaca dan menulis. Inilah kelebihan yang jarang kita lihat pada orang lain,” katanya.
Pakar bidang sejarah politik Malaysia moden itu berkata, selain mengamalkan gaya hidup aktif, Tun M juga menjaga pemakanan dengan baik dan sentiasa berusaha memastikan tubuhnya kekal sihat.
“Bagi saya, disiplin dan cara Tun M menjaga diri adalah sesuatu yang boleh dijadikan teladan kepada masyarakat, terutama generasi muda,” katanya.
Mengulas sumbangan kepada negara, pakar bidang sejarah politik Malaysia moden itu secara ringkas berkata, jasa Tun M tetap diingati sebagai sebahagian sejarah kepimpinan negara.
Sementara itu, penganalisis politik Universiti Sains Malaysia (USM) Profesor Datuk Dr Sivamurugan Pandian berkata, Tun M adalah pemikir yang membawa lonjakan dalam beberapa dasar atau polisi sepanjang 22 tahun dan 22 bulan mentadbir negara.
Menurutnya, sebagai Bapa Pemodenan, beliau mengubah Malaysia daripada negara sedang membangun kepada pesat membangun melalui projek mega yang fizikalnya mengubah pemetaan Malaysia di mata dunia.
“Ini termasuk KLCC, KLIA, penganjuran sukan berprestij dunia seperti F1 di Litar Sepang, PROTON, Lebuhraya PLUS dan Putrajaya.
“Wawasan 2020 diilhamkannya pula membawa keyakinan ke atas negara. Begitu juga semangat ‘Malaysia Boleh’.
“Semua ini juga dilakukannya atas prinsip ‘Kepimpinan Melalui Teladan’ dengan disiplin diri yang membolehkan beliau kekal sebagai negarawan,” katanya. – Harian Metro