Negara

Musim tengkujuh: Bekalan ikan dijamin cukup

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

DUNGUN:  Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memberi jaminan bekalan ikan untuk sepanjang musim tengkujuh ini mencukupi khususnya bagi kegunaan rakyat di seluruh negara.

Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, berkata, pihaknya telah membuat persediaan rapi bagi memastikan bekalan ikan mengcukupi bagi tempoh berkenaan atau sekurang-kurangnya untuk tiga bulan.

Muhammad Faiz berkata, sepanjang tempoh itu juga LKIM akan turut memastikan harga ikan di pasaran terus stabil sekaligus menjamin keperluan serta Kebajikan pengguna.

Menurutnya, bagi tujuan itu juga LKIM turut mengadakan kolaborasi atau kerjasama dengan pihak pemborong dan pembekal ikan swasta bagi tujuan menyimpan stok ikan supaya berkalan sentiasa cukup dan harganya stabil.

MUHAMMAD FAIZ FADZIL

“Berdasarkan dengan simpanan yang mereka ada, kita anggarkan kita ada lebih kurang 1,600 metrik tan ikan simpanan.

“Hasil daripada simpanan kita sendiri hampir 300 metrik tan dan pihak swasta ada kira-kira 1,600 metrik tan, dan apa yang kita harapkan dengan kerjasama ini kita akan dapat menghasilkan bekalan ikan yang cukup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Dungun di Dewan Serbaguna LKIM, di sini,  hari ini. 

MUHAMMAD Faiz Fadzil (barisan belakang, enam dari kanan) bergambar bersama penerima sumbangan bakul makanan pada Program Rahmah Mesra Madani Pengerusi LKIM Bersama Nelayan Dungun di Dewan Serbaguna LKIM, Dungun,  hari ini. – SUARA TIMUR/MUKHATAR A. RAHMAN

Muhammad Faiz berkata, LKIM mengingatkan pemborong dan pihak swasta supaya tidak menaikkkan harga ikan sesuka hati bagi sepanjang tempoh berkenaan bagi menjamin keperluan dan hak pengguna.

Tambahnya, LKIM turut mengadakan kolaborasi bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup bagi tujuan melakukan pemantauan harga dan memastikan peniaga tidak mengambil kesempatan.

Muhammad Faiz berkata, LKIM sememangnya bertanggungjawab untuk memastikan setiap rakyat Malaysia berhak mendapatkan bekalan keperluan ikan yang cukup dengan harga stabil di pasaran.

Dalam perkambangan lain, LKIM turut memberi sumbangan bakul makanan kepada 219 nelayan seluruh negara yang terjejas bencana banjir tahun ini dengan kos keseluruhan lebih RM16,000.00 di bawah Skim Bantuan Bencana Alam. – Suara Timur

Related Posts