IPOH: Polis sedang menyiasat satu insiden membabitkan seorang wanita yang menaiki pentas utama ketika acara sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Perak, pagi tadi.
Kejadian jam 8.20 pagi ketika lagu kebesaran negeri Perak sedang berkumandang.
Ketua Polis Perak, Datuk Noor Hisam Nordin, berkata suspek masuk melalui bahagian tepi pentas dan mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzudin Shah sebelum ditahan oleh anggota keselamatan yang bertugas.
Suspek adalah seorang wanita tempatan berusia 41 tahun telah ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut.
Beliau berkata, wanita itu ditahan di lokasi kejadian dan dibawa ke balai polis untuk tindakan lanjut dengan ujian air kencing ke atasnya mendapati dia negatif dadah.
Kes disiasat di bawah Seksyen 325/511 Kanun Keseksaan kerana cubaan menyebabkan cedera parah.
Wanita ada rekod rawatan psikiatri
Semakan awal mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah selain turut mempunyai rekod rawatan psikiatri dan sedang berada di bawah pengawasan pakar.
“Polis menasihatkan orang ramai supaya menghormati majlis rasmi kenegaraan dan tidak melakukan sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam serta keselamatan,” katanya. – Berita Harian