Mahkamah dan Jenayah Negara

10 lembu mati bergelimpangan disyaki diracun

ALOR GAJAH: Penduduk Kampung Air Lanjut Kelemak gempar apabila lebih 10 ekor lembu dipercayai milik penduduk tempatan ditemui mati bergelimpangan, dipercayai akibat diracun dalam kejadian yang disedari awal pagi semalam.

Insiden itu tular di media sosial hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kelemak Jaya, Abd Karim Abu Bakar berkata, kejadian disedari kira-kira jam 7.30 pagi, dan setakat ini 10 ekor lembu disahkan mati.

Menurutnya, biarpun tidak mengetahui individu yang melakukan perbuatan kejam itu, namun mengingatkan penternak supaya mengawal haiwan ternakan masing-masing.

“Saya nasihatkan semua pemilik haiwan supaya lebih bertanggungjawab dan mengawal ternakan masing-masing.

“Kita tidak mahu kejadian seumpama ini berulang. Pastikan haiwan tidak berkeliaran hingga mengganggu kebun atau ladang orang lain,” katanya kepada Sinar Harian hari ini.


Tambahnya, pemilik haiwan harus memastikan haiwan ternakan mereka tidak dibiarkan berkeliaran sehingga mengganggu kawasan kebun atau ladang milik orang lain.

Beliau turut mengingatkan agar pemilik kebun tidak bertindak terburu-buru atau mengambil undang-undang di tangan sendiri.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Ashari Abu Samah berkata, memaklumkan bahawa pihaknya masih belum menerima laporan rasmi daripada mana-mana penternak yang mengalami kerugian.

“Namun saya telah arahkan pegawai untuk ke lokasi dan menjalankan siasatan,” katanya.

Tular di media sosial juga satu video berdurasi 19 saat yang memaparkan lembu tersebut terbaring kaku di atas tanah, mengundang pelbagai reaksi sedih dan marah dalam kalangan netizen. – Sinar Harian

Related Posts