Mahkamah dan Jenayah Negara

Video pemuda longlai dibelasah: 8 ditahan termasuk seorang wanita

PASIR GUDANG: Lapan termasuk seorang wanita ditahan dipercayai terbabit kes pukul pemuda sehingga longlai yang mana video kejadian itu turut tular di media sosial.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 9.30 malam Jumaat lalu di kawasan pangsapuri di Plentong Baru Masai, di sini, dengan polis menerima laporan daripada mangsa, 21, jam 11.30 malam kelmarin.

Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Seri Alam menahan lapan suspek berusia antara 19 hingga 26 tahun termasuk wanita jam 2.30 pagi semalam di lokasi kejadian.

“Semua suspek direman enam hari sehingga Sabtu ini di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah (KPJ).

“Lima daripada suspek mempunyai rekod jenayah lampau kesalahan berkaitan jenayah dan dadah. Ujian saringan air kencing juga mendapati empat daripada mereka positif dadah jenis methamphetamine,” katanya melalui kenyataan.

Mohd Sohaimi berkata siasatan mendapati mangsa pergi ke pangsapuri terbabit atas jemputan seorang wanita yang dikenali menerusi aplikasi media sosial.

Sebaik tiba, mangsa dikurung dan dipukul beberapa lelaki sehingga luka pada bibir, telinga dan bengkak pada bahagian badan.

Kes disiasat dibawah Seksyen 342 Kanun Keseksaan Seksyen 385 Kanun Keseksaan dan Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

Terdahulu tular di media sosial beberapa klip video memaparkan seorang pemuda longlai dipukul beramai-ramai oleh sekumpulan lelaki dalam sebuah rumah dipercayai berlaku di Pasir Gudang di sini.

Salah satu video turut memaparkan seorang daripada mereka menumbuk dan menendang alat sulit mangsa. –  Berita Harian

Related Posts