SHAH ALAM: Kesemua 23 rakyat Malaysia yang menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) selamat keluar dari Israel pada jam 6.45 petang tadi waktu Malaysia.
Perkara itu dimaklumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sambil memberitahu kesemuanya akan tiba di Istanbul malam ini.
“Syukur ke hadrat ALLAH SWT, berkat doa rakyat Malaysia dan usaha berterusan semua pihak yang menggalang (menyokong) seluruh kekuatan akhirnya membuahkan hasil.

“Terima kasih kepada sahabat karib saya iaitu Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan dan rakan pimpinan negara sahabat lain yang membantu memudahkan urusan pembebasan setiap aktivis dan sukarelawan anak Malaysia ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan, 23 rakyat Malaysia itu dalam perjalanan ke Lapangan Terbang Ramon, Israel menuju ke Istanbul selepas dibebaskan daripada tahanan rejim Zionis.
Anwar memaklumkan, mereka diterbangkan menggunakan pesawat khas ke Turkiye selepas rundingan diplomatik pelbagai hala dan mendapat persetujuan bersama Erdogan untuk menguruskan perkara terbabit.
Menurutnya, kesemua peserta kini transit di Istanbul dan menginap di sana sekitar satu hingga satu setengah hari bagi menjalani pemeriksaan kesihatan dan rawatan akibat trauma semasa dalam tahanan. – Sinar Harian