Negara

Trend menari terima duit raya di TikTok boleh jatuh hukum haram – Mufti

KUALA TERENGGANU: Trend menari di TikTok ketika acara pemberian duit raya sempena sambutan Aidilfitri boleh membawa kepada hukum haram terutama wanita beragama Islam sekiranya ia dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat.

Mufti Terengganu, Datuk Dr Mohamad Sabri Harun meluahkan rasa kesal atas tindakan masyarakat beragama Islam yang mudah terikut-ikut dengan trend semasa sehingga melupakan batas agama sebagai orang Islam.

“Budaya kita ialah bersalaman dan mengucapkan kemaafan serta terima kasih sempena menyambut Aidilfitri. Ia tidak perlu dicacatkan dengan perbuatan berjoget sehingga melampaui batas agama.

“Perkara seperti ini dikesali dan mungkin suatu masa akan kehilangan nilai-nilai murni budaya kita sendiri jika trend seperti ini berterusan.

“Trend berjoget untuk menerima duit raya itu perlu dielakkan kerana ia dilihat menjatuhkan maruah dan mempamerkan aurat wanita. Jika dilakukan secara berlebihan sehingga menonjolkan aurat sudah tentu boleh menjadi haram,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini pada Jumaat.

Selain itu, ketika ditanya mengenai trend menari tersebut dilihat menyerupai amalan agama lain, Mohamad Sabri menjelaskan perbuatan tersebut adalah haram kerana ia menyerupai agama lain.

“Sekiranya ia mengikut agama lain maka adalah diharamkan kerana menyerupai agama lain.

“Bagaimanapun, jika tidak ada kena mengena dengan agama lain tetapi mengundang fitnah sehingga menjadi satu trend yang dianggap tidak manis dan tidak bermoral apatah lagi tidak pernah berlaku dalam tradisi budaya kita, maka sewajarnya perbuatan sedemikian dielakkan.

“Ini bagi memastikan perkara seperti ini tidak berterusan pada masa akan datang sehingga menjadi aib atau tidak manis dalam masyarakat bahkan mungkin (perbuatan itu) akan berlebihan sehingga menonjolkan bentuk tubuh,” jelasnya.

Sebelum ini, aksi menari secara terbuka di media sosial yang mengikut trend berjoget demi mendapatkan duit raya turut ditegur oleh beberapa pendakwah bebas termasuk penceramah bebas, Ustazah Asma’ Harun.

Asma’ meluahkan rasa kecewa kerana ramai wanita Islam pelbagai peringkat umur mengikuti trend tersebut serta menganggap ia sebagai tidak menghormati tradisi dan adab semasa Hari Raya.

Selain itu, tular video di media sosial berdurasi 22 saat mendakwa tarian itu diambil dari tarian tradisional Yahudi susulan pergerakannya kelihatan serupa dengan trend terima duit yang viral ketika ini. – Sinar Harian

Related Posts