Negara

Agong arah batalkan pembelian helikopter Blackhawk

SHAH ALAM: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bertitah supaya Kementerian Pertahanan (Mindef) membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk lama yang telah berusia lebih 30 tahun.

Seri Paduka Baginda sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia (ATM) turut mengingatkan kementerian tersebut supaya tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat SkyHawk secara second-hand. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya “(cadangan) ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ejen atau bekas jeneral yang menjadi jurujual malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual drone,” titah Baginda menerusi hantaran di Facebook.

Sultan Ibrahim bertitah demikian pada Titah Diraja sempena Perbarisan Hari Ulang Tahun Rejimen Gerak Khas Ke-60 di Kem Iskandar, Mersing pada Sabtu.

Seri Paduka Baginda juga bertitah, peruntukan yang ada berkemungkinan tidak mencukupi jika semua pembelian perlu mengikut ketetapan harga dari orang tengah.

“Oleh itu, jangan cuba nak temberang saya. Jika tidak mahu dengar cakap saya, selepas ini saya tidak akan menegur lagi,” titah Seri Paduka Baginda.

Sebelum ini, Mindef dalam proses menilai semula kaedah terbaik perolehan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan Tentera Darat Malaysia (TDM), yang dijangka dimuktamadkan pada tahun ini.

Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari berkata, kaedah berkenaan melibatkan perjanjian pendekatan kerajaan dengan kerajaan (G2G) atau model sewaan yang digunakan ketika ini.

Pada 1 Mac lepas, media melaporkan Mindef merancang untuk membuka semula tender kontrak sewaan helikopter UH-60 Black Hawk untuk digunakan TDM pada masa hadapan dan perancangan itu dilakukan selepas syarikat dilantik sebelum ini gagal membuat penghantaran mengikut tarikh ditetapkan. – Sinar Harian


Related Posts