KULIM: Seorang ibu tunggal dua anak dicekup berkhalwat dengan teman lelakinya di sebuah pondok kecil yang tidak ubah seperti stor di belakang rumah teman lelakinya di sebuah penempatan Felda di sini, hari ini.
Pegawai Penguatkuasa Agama Daerah Kulim, Anwar Shariffudin Mat Saad berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kegiatan maksiat di situ dan bergegas ke lokasi pada 1.20 pagi.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pondok kecil itu tertutup dari dalam dan selepas mengetuknya berkali-kali, seorang lelaki hanya berseluar panjang tanpa baju, membukanya.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan mendapati, pondok kecil itu tertutup dari dalam dan selepas mengetuknya berkali-kali, seorang lelaki hanya berseluar panjang tanpa baju, membukanya.
“Pemeriksaan lanjut dalam pondok itu menemukan seorang wanita hanya berselimut di atas katil.
“Hasil soal siasat mendapati, pasangan itu gagal menunjukkan mempunyai sebarang hubungan mahram atau suami isteri dan disyaki berkhalwat,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Anwar Shariffudin berkata, wanita berusia 45 tahun itu mendakwa bercerai dengan bekas suaminya setahun lalu dan mempunyai dua anak berusia 12 dan 21 tahun.
Beliau berkata, wanita itu bekerja menjual kuih dan menetap di Sungai Petani.
“Dia mengaku mengenali lelaki berusia 30 tahun itu lebih setahun lalu ketika bekerja di sebuah kedai makan di kawasan itu.
“Lelaki itu pula masih bujang dan hidup yatim piatu selepas ibu bapanya meninggal dunia dan tinggal bersama kakaknya di situ,” katanya.
Menurutnya, wanita itu mendakwa rapat dengan lelaki itu selepas dia bercerai dan memberi alasan tumpang bermalam di situ kerana datang dari Sungai Petani untuk bertemu dengan anak serta ibu bapanya.
Katanya, pasangan itu mendakwa hubungan mereka tidak direstui keluarga, malah keluarga lelaki berkenaan tidak tahu mereka bermalam di situ.
“Mereka ditahan kerana disyaki berkhalwat dan dibawa ke balai polis berhampiran untuk dibuat laporan tangkapan sebelum diambil keterangan.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 25 (a) (b) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Kedah (EKJSK) 2014 kerana disyaki berkhalwat,” katanya. – Harian Metro