KLUANG: Penduduk gempar apabila menemui bangkai seekor gajah betina dipercayai mati beranak dekat ladang kelapa sawit di Kampung Contoh, Kahang, di sini, semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata, pihaknya menerima aduan penemuan berkenaan pada 2.30 petang.
Katanya, pemeriksaan anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Johor mendapati tiada kecederaan fizikal pada bangkai gajah berkenaan.
“Turut ditemukan bangkai seekor anak gajah berhampiran bangkai gajah betina dewasa terbabit.
“Gajah berkenaan dipercayai mengalami kesukaran untuk melahirkan anak dalam kandungannya. Gajah itu dipercayai terpisah daripada kumpulan gajah dari Bandar Tenggara,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, bangkai kedua-dua gajah itu akan ditanam selepas pengambilan sampel dilakukan bagi mengenal pasti punca kematian, hari ini. – Berita Harian