Mahkamah dan Jenayah Negara

Rangka lelaki dipercayai hilang Julai lalu ditemukan di belakang rumah

BERA: Polis menerima aduan berkaitan penemuan tulang disyaki rangka manusia di belakang sebuah rumah di Felda Bukit Mendi, dekat sini, jam 11.50 malam tadi.

Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir berkata, pengadu menemukan rangka dan tengkorak ketika melakukan pembersihan semak dan meracun rumput di kawasan itu kira-kira jam 4 petang semalam.

Katanya, pengadu yang berusia 36 tahun pada mulanya ragu-ragu sama ada rangka yang ditemukan itu adalah patung atau manusia sebelum menceritakan kepada rakannya.

“Akhirnya dia membuat keputusan melaporkan kepada polis sebelum anggota ke tempat kejadian.

“Hasil siasatan awal mendapati rangka manusia yang ditemui itu berada kira-kira 100 meter dari belakang rumah yang juga tanah rizab Felda dan kawasan berpaya,” katanya.

Beliau berkata, rangka dan tengkorak itu dijumpai di kawasan semak samun dan polis turut menemukan baju, seluar dan jaket dalam keadaan berselerakan.

“Siasatan masih lagi diteruskan dan rangka itu diserahkan kepada Unit Forensik Hospital Bera untuk pengenalan identiti mangsa.

“Polis sebelum ini pernah menerima satu laporan pada Julai 2024 berkaitan orang hilang (OH) di Felda Bukit Mendi,” katanya.

Katanya, individu yang dilaporkan hilang itu seorang lelaki berusia 48 tahun.

“Setakat ini keluarga terdekat sudah dihubungi dan mengesahkan pakaian yang ditemui dipakai mangsa ketika dilaporkan hilang,” katanya. – Harian Metro

Related Posts