Negara

Kaji peraturan Parlimen, kekal kebebasan bersuara – Hadi

KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mencadangkan peraturan Parlimen dikaji semula bagi mengekalkan kebebasan bersuara wakil rakyat, sekali gus memastikan perbahasan dijalankan secara adil.

Sambil menyifatkan wujud banyak aturan mesyuarat dibuat secara spontan apabila pembangkang mengemukakan teguran, Abdul Hadi (PN-Marang) berkata kebebasan bersuara penting selaras prinsip demokrasi dan amal makruf nahi mungkar.

“Saya harap kebebasan bersuara (dikekalkan)… saya minta supaya peraturan Parlimen dikaji semula. Banyak ‘standing order’ (perintah tetap) bila pembangkang tegur.

“Kita (kerajaan) marah dan buat peraturan tidak boleh bercakap. Ini bercanggah dengan amal makruf nahi mungkar.

“Bercanggah dengan prinsip demokrasi… kecualilah kata lucah atau kata kesat ini tak apa (dikenakan standing order),” katanya pada sesi perbahasan Usul Menjunjung Kasih Atas Titah Diraja, di Dewan Rakyat, hari ini.

Pada masa sama Abdul Hadi mendakwa peraturan yang diputuskan Dewan Rakyat sebelum ini bertujuan mengelakkan pemimpin kerajaan dikritik.

Beliau berkata, tidak kurang juga tindakan terbabit seolah-olah untuk membiarkan pemimpin menyelamatkan diri daripada menjawab sesuatu isu.

“Kerana hendak menyelamatkan diri, tidak tahan marah bila dikritik, (mereka) bangun dan membuat peraturan tidak boleh bercakap (isu terbabit),” katanya.

Sebelum ini, Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul, memutuskan isu berkaitan polemik Titah Adendum tidak dibenarkan dibangkitkan pada sesi Dewan Rakyat kali ini.

Beliau menjelaskan ia berdasarkan Peraturan Mesyuarat 36(2) selepas RSN Rayer (PH-Jelutong) membangkitkan mengenai perkara itu ketika beberapa Ahli Parlimen pembangkang dan kerajaan bertegang urat ‘berdebat’ mengenai kewujudan Titah Adendum dan isu penderhakaan

Johari dilaporkan turut melarang penggunaan perkataan derhaka untuk isu berkaitan Titah Adendum mengikut Peraturan Mesyuarat 36(7).

Abdul Hadi turut meluahkan rasa kecewa dengan kegagalan memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan meskipun ia termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, bahasa Melayu masih lagi terpinggir di negara ini apabila bahasa asing masih menjadi keutamaan termasuk dalam urusan kerajaan.

“Apa berlaku hari ini bercelaru, kedai di bandar, ibu negara semua bahasa ada, (penggunaan) bahasa Melayu kadang-kadang halus (kecil) sahaja, bahasa Inggeris besar (walaupun orang) Inggeris dah tak ada.

“Dalam majlis orang putih ada tiga ekor sahaja, yang orang kita ni ramai semua boleh berbahasa Melayu, (tapi) cakap (guna bahasa) Inggeris juga, surat rasmi, bicara di mahkamah masih lagi bahasa Inggeris,” katanya.

Beliau memberi contoh sesetengah negara yang memartabatkan bahasa kebangsaan sanggup menggunakan bahasa ibunda di pentas persidangan Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB).

Katanya, pemimpin yang menggunakan bahasa asing adalah mereka yang masih lagi dijajah selain tiada identiti jiwa bangsa.

“Kita lihat negara lain pergi ke PBB, kita lihat pemimpin mereka berucap dalam bahasa ibundanya.

“Tak berucap dengan (menggunakan) bahasa Inggeris, kecuali mereka (yang) dijajah, negeri yang ada identiti, ada jiwa bangsa, (mereka) bercakap gunakan bahasa ibunda,” katanya.

Sementara itu, Abdul Hadi terus memperjuangkan peruntukan bagi pembangkang apabila meminta kerajaan berlaku adil dalam perkara itu.

“Ini kerana demokrasi bukan sahaja untuk kerajaan namun untuk pembangkang juga. Selepas pilihan raya, semua rakyat sama,” katanya. – Berita Harian

Related Posts