Negara

UMNO mohon ehsan Agong supaya laksana Titah Adendum


BUTTERWORTH: UMNO memohon ehsan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya Titah Adendum yang membolehkan Datuk Seri Najib Razak menjalani hukuman penjara di bawah tahanan rumah dilaksana selepas kewujudannya diakui Peguam Negara.

Naib Presidennya Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, Peguam Negara, baru-baru ini mengatakan wujudnya Titah Adendum berkenaan dan bukannya khabar angin.

Menurutnya, berikutan itu, beberapa Pengerusi UMNO negeri mengeluarkan kenyataan memohon ehsan Sultan Ibrahim supaya titah itu dilaksanakan.

“Kita tahu (soal) pengampunan ini adalah kuasa dunia, tetapi kita mohon ehsan setelah empat ke lima hari yang lepas Peguam Negara mengatakan wujudnya (Titah) Adendum tersebut yang ia bukannya ‘hearsay’

“Ekoran daripada itu, saya dapati banyak (Pengerusi UMNO) negeri-negeri yang telah pun mengeluarkan kenyataan memohon ehsan Tuanku supaya (Titah) Adendum tersebut dilaksanakan.

“(Dalam hal Titah Adendum), kita boleh desak PM (Perdana Menteri) tetapi dengan Agong (Sultan Ibrahim) kita merayu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada perlu desakan secara berterusan kepada kerajaan untuk membawa isu berhubung kewujudan Titah Adendum kepada Yang di-Pertuan Agong selepas diperakui benar.

Terdahulu, Wan Rosdy yang juga Menteri Besar Pahang ditemui selepas merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bukit Mertajam di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Wan Rosdy dalam satu hantaran melalui Facebook (FB) pada Jumaat lalu menzahirkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana Jabatan Peguam Negara (AGC) akhirnya mengakui kewujudan Titah Adendum.

Katanya, disebabkan AGC secara langsung atau tidak langsung mengakui keabsahan Titah Adendum itu maka adalah wajar prosiding berhubungnya dihentikan dan melaksanakan titah berkenaan.

“Jabatan Peguam Negara, mahkamah dan semua pihak yang terbabit, terutama pihak kerajaan perlu menjadi badan yang menjunjung konsep pengasingan kuasa, termasuk menghormati kuasa Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan,” katanya.

Pada Rabu lalu, AGC dilapor tidak mempertikaikan kewujudan Titah Adendum dikatakan titah Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah.

Sebaliknya, AGC mempertikaikan prosedur untuk mengemukakan titah itu sebagai bukti baharu dalam permohonan semakan kehakiman Najib di Mahkamah Tinggi.

Bekas Perdana Menteri itu yang sedang menjalani hukuman penjara sejak 23 Ogos 2022 selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, memfailkan petisyen untuk mendapatkan Pengampunan Diraja pada 2 September 2022.

Lembaga Pengampunan kemudian mengurangkan hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta. – Harian Metro

Related Posts