Oleh BAZLI RAZAK
TANJONG MALIM: Seramai 23 kontinjen termasuk agensi luar berganding bahu memeriahkan Majlis Sambutan Maulidur Rasul Peringkat Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) 1447H/2025 di Dewan Tuanku Canselor, di sini, hari ini.
Naib Canselor UPSI, Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff berkata, penganjuran perarakan Maulidur Rasul yang memasuki tahun keempat sejak diperkenalkan pada 2022 itu membuktikan komitmen universiti dalam mengangkat tema sambutan tahun ini iaitu “Membangun Ummah Madani”.
“Perarakan Maulidur Rasul ini bukan sahaja melibatkan warga UPSI tetapi juga komuniti setempat, sekali gus memperkukuh jaringan hubungan universiti dengan masyarakat Muallim,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan.

Daripada jumlah itu, 19 kontinjen terdiri daripada jabatan dan pusat tanggungjawab di UPSI, manakala empat kontinjen lagi ialah Majlis Daerah Tanjong Malim, Masjid Ketoyong Tanjong Malim, Sekolah Menengah Kebangsaan Proton City (SMKPC) dan Sekolah Menengah Kebangsaan Khir Johari (SMK K-Jo).

Bagi mengiktiraf penglibatan peserta, pertandingan perarakan diadakan melibatkan tiga kategori iaitu Perarakan Terbaik, Sepanduk Terbaik dan Pakaian Terbaik, dengan hadiah wang tunai keseluruhan berjumlah lebih RM15,000. Johan keseluruhan pula membawa pulang hadiah wang tunai RM3,000.
Pada edisi kali ini, Kategori Perarakan Terbaik dimenangi oleh Portfolio Naib Canselor, Kategori Sepanduk Terbaik oleh Jabatan Pengurusan Pembangunan dan Harta Benda (JPPHB), manakala Kategori Pakaian Terbaik dimenangi Fakulti Sains dan Matematik (FSM). Portfolio Naib Canselor turut diumumkan sebagai Johan Keseluruhan.

Bagi mengurangkan beban kos persediaan, setiap kontinjen UPSI turut menerima peruntukan sebanyak RM300 daripada pihak pengurusan universiti. Selain itu, sumbangan dana berjumlah RM2,000 turut disalurkan oleh Pejabat Baitulmal Daerah Muallim, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPK) bagi menjayakan penganjuran kali ini.

Tiga agensi luar iaitu Ibu Pejabat Polis Daerah Muallim, Pejabat Pentadbiran Agama Islam Daerah Muallim dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam turut dijemput sebagai panel juri bagi menilai kontinjen bertanding.
Majlis berkenaan turut diserikan dengan persembahan nasyid daripada kumpulan KESAKTI UPSI serta ceramah khas Maulidur Rasul yang disampaikan Mudir Madrasah Darul Atiq Hulu Selangor, Ustaz Ahmad Rizam Haji Ghazali. – Suara Timur