KUALA LUMPUR: Usahawan dan pempengaruh media sosial dikenali Makcik Kemboja, mengejutkan pengikutnya apabila mengesahkan dirinya diceraikan oleh suaminya secara langsung di platform TikTok, semalam.
Mak Cik Kemboja atau nama sebenarnya Mariyah Yaakob, 50, berkongsi berita duka itu melalui satu rakaman video dimuat naik di akaun TikTok miliknya.
Mariyah mendedahkan bahawa lafaz cerai itu dibuat oleh suaminya yang hanya dikenali sebagai ‘Mr S’, di ruangan komen ketika beliau sedang bersiaran langsung.
“Aku hari ini (semalam), Madam Maria atau lebih dikenali oleh Mak Cik Kemboja, diceraikan di dalam ‘live’ oleh Mr S, bersaksikan 200 lebih mata yang melihat penceraian itu.
“Mr S tulis dengan lafaz bismillah, ‘Mariyah binti Yaakub, aku ceraikan kau’,” katanya dalam video tersebut.
Menurut usahawan produk kecantikan itu lagi, suaminya menulis lafaz cerai tersebut sebanyak lima kali, sekaligus menamatkan spekulasi mengenai status rumah tangga mereka yang dikatakan bergolak sejak kebelakangan ini.
“Terima kasih Mr S atas cerai yang kau lafazkan pada 7 Ogos hari ini. Terima kasih. Dan ternyata engkau adalah seorang suami yang tak ada iman.
“Aku dah memang tak sempurna jadi isteri kau, tapi kau lebih tak layak nak jadi suami aku. Terima kasih,” katanya memaklumkan beliau sedang berada di Mahkamah Syariah Johor Bahru untuk proses memfailkan cerai.
Sementara itu, di ruangan kapsyen video sama, Mariyah memohon pengikutnya mendoakan beliau terus kuat demi anak dan masa depan.
“Bukan pengakhiran yang Madam impikan, tapi mungkin inilah permulaan baru yang Allah dah atur,” tulisnya.
Berdasarkan satu lagi video dikongsikan, usahawan itu berkata, beliau tekad untuk bangkit memperjuang hak sebagai isteri yang digantung tidak bertali dan dianiaya.
Berdasarkan satu lagi video dikongsikan, usahawan itu berkata, beliau tekad untuk bangkit memperjuang hak sebagai isteri yang digantung tidak bertali dan dianiaya.
Pendedahan dramatik ini pantas menjadi tular dan mendapat pelbagai reaksi daripada netizen dengan rata-ratanya menzahirkan rasa simpati dan memberikan kata-kata semangat kepada Mak Cik Kemboja untuk terus tabah menghadapi dugaan.
Setakat jam 12.30 tengah hari tadi, video itu ditonton oleh lebih 658,000 pengguna dan dikongsi lebih 1,600 kali di platform TikTok.
Sebelum ini, Mariyah yang juga digelar ‘Makcik Kemboja’ pernah tular selepas mengeluarkan kenyataan jelik dalam stu video melalui media sosial yang mendakwa orang Melayu sebagai malas, dua tahun lalu. – Harian Metro