Negara Politik

Peratusan keluar mengundi rendah antara punca PN tewas di Ayer Kuning – Tuan Ibrahim

PORT DICKSON: Peratusan keluar mengundi yang rendah pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning, semalam menyumbang kepada kekalahan calon Perikatan Nasional (PN).

Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) perlu mengambil langkah sewajarnya bagi meningkatkan kadar keluar mengundi, sekali gus mencerminkan kehendak sebenar pengundi dalam sesuatu kawasan pilihan raya.

“Kita tahu setiap kali PRK diadakan, peratusan keluar mengundi sangat rendah dan SPR sepatutnya mengambil tindakan supaya ia dapat mencerminkan realiti sebenar tahap sokongan.

“Sebagai contoh, semalam peratus keluar mengundi hanya 58.9 peratus. Ini menunjukkan kadar penyertaan yang rendah, malah dalam beberapa PRK sebelum ini, peratusannya pernah mencecah kurang 50 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS di Lukut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyedari Ayer Kuning adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, namun tetap berpuas hati dengan prestasi parti dalam PRK berkenaan.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri PAS di Lukut, di sini, hari ini.

Turut hadir, Naib Presiden PAS, Datuk Idris Ahmad dan Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Tuan Ibrahim berkata, PAS menyedari Ayer Kuning adalah kubu kuat Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, namun tetap berpuas hati dengan prestasi parti dalam PRK berkenaan.

“PAS masih berjaya mengekalkan jumlah undi yang diperoleh pada pilihan raya sebelum ini. Malah, sokongan bukan Melayu terhadap parti juga dilihat semakin meningkat di kawasan-kawasan yang saya lawati.

“Secara keseluruhannya, kita masih menerima sokongan rakyat dan berjaya mengekalkan undi yang diperoleh PN sebelum ini.

“Kebiasaannya, dalam PRK, jumlah undi pembangkang akan merosot disebabkan kehadiran pelbagai jentera kerajaan sepanjang kempen. Namun, Alhamdulillah, kita masih mampu bertahan walaupun belum mencapai kemenangan,” katanya.

Tuan Ibrahim mendakwa terdapat penjawat awam tidak berani menyatakan sokongan kepada PAS secara terbuka termasuk menerusi undi awal.

“Dari segi gerak kerja, jentera kita dari seluruh negara turun padang dan bekerja bersungguh-sungguh. Strategi kempen juga tertumpu kepada beberapa isu tempatan yang mendapat maklum balas positif daripada pengundi.

“Namun, sebahagian penjawat awam tidak berani menzahirkan sokongan secara terbuka, dan perkara itu dapat dilihat menerusi keputusan undi awal. Kita memahami situasi itu,” katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau menolak dakwaan isu kandang babi menjadi antara punca kekalahan parti, sebaliknya menegaskan isu berkenaan adalah perkara sebenar yang dibangkitkan penduduk setempat.

Sementara itu, Takiyuddin turut menjelaskan isu berkenaan bukan membabitkan perkauman atau agama, sebaliknya isu alam sekitar dan kesihatan yang memberi kesan kepada semua penduduk tanpa mengira kaum.

Pada PRK DUN Ayer Kuning, calon BN, Dr Mohamad Yusri Bakir, 54, diumumkan menang dengan majoriti 5,006 undi selepas memperoleh 11,065 undi keseluruhan.

Setiausaha UMNO Bahagian Tapah itu menewaskan dua pencabar, iaitu Abdul Muhaimin Malek, 44, dari PN dan calon Parti Sosialis Malaysia (PSM), Bawani KS. –  Berita Harian

Related Posts