HULU SELANGOR – Seorang lelaki maut dipercayai ditendang seekor lembu sebelum tercampak ke dalam sungai di Ladang Batu 2, Kerling, di sini pada Sabtu.
Ketua Polis Daerah Hulu Selangor, Superintenden Ibrahim Husin berkata, kejadian berlaku kira-kira jam 7.55 pagi apabila mangsa berusia 53 tahun itu ditemui dalam keadaan tidak sedarkan diri di dalam sungai berhampiran ladang sawit berkenaan oleh seorang pekerja ladang warga Indonesia.
“Penolong Pegawai Perubatan yang dimaklumkan mengenai kejadian segera ke lokasi dan mendapati mangsa masih mempunyai nadi.
“Bantuan pernafasan (CPR) diberikan kepada mangsa sebelum dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.
Katanya, mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika perjalanan ke hospital.
“Pemeriksaan awal mendapati terdapat kesan luka pada dahi mangsa dan pihak hospital telah menjalankan bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
“Bedah siasat mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan otak traumatik teruk berpunca daripada jatuh dari tempat tinggi,” katanya.
Menurutnya, kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR). – Sinar Harian