Negara

ATM batal beli 4 helikopter Black Hawk

PETALING JAYA: Panglima Angkatan Tentera, Mohd Nizam Jaffar berkata pembelian empat buah helikopter Black Hawk dengan nilai kontrak kira-kira RM187 juta telah dibatalkan.

Nizam berkata keputusan itu dibuat selepas mengambil maklum titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim supaya cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun dibatalkan, lapor Utusan Malaysia.

“ATM sentiasa menjunjung dan akur dengan titah Yang di-Pertuan Agong berkaitan pembelian helikopter Black Hawk lama yang kebanyakannya berusia lebih 30 tahun.

“Kita tidak akan mengusulkan (helikopter) Black Hawk pun dan telah mengambil maklum hasrat Tuanku. Tender sudah pun keluar,” katanya yang dipetik sebagai berkata.

Sabtu lalu, Sultan Ibrahim menitahkan Kementerian Pertahanan membatalkan cadangan pembelian helikopter Black Hawk berusia lebih 30 tahun.

Sebagai pemerintah tertinggi Angkatan Tentera Malaysia, baginda mengingatkan Kementerian Pertahanan tidak mengulangi kesilapan dahulu.

“Jangan ulang kesilapan dahulu apabila kita beli pesawat Sky Hawk secara ‘second hand’. Adakah kita hendak letak juruterbang kita dalam ‘keranda terbang’? Awak fikirlah sendiri.

“Saya percaya ini semua berlaku kerana di Kementerian Pertahanan penuh dengan ‘ejen’ atau bekas jeneral yang menjadi ‘salesman’, malah ada syarikat penjual kain pun masuk hendak jual ‘drone’,” titah baginda dalam catatan Facebook. – FMT

Related Posts