Negara

Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM

KUALA LUMPUR: Tan Sri Azam Baki dilantik semula sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi tempoh satu tahun berkuat kuasa mulai 13 Mei ini.

Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim, telah memperkenankan pelantikan semula Azam untuk memegang jawatan tertinggi dalam SPRM.

“Sukacita dimaklumkan bahawa selaras dengan Subseksyen 5(1) dan 5(2), Akta SPRM 2009 [Akta 694], Yang di-Pertuan Agong telah memperkenankan pelantikan semula Tan Sri Azam Baki sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM untuk tempoh satu tahun, berkuat kuasa mulai 13 Mei 2025 hingga 12 Mei 2026.

“Pelantikan semula ini adalah berdasarkan pengalaman, komitmen dan pencapaian beliau sepanjang menerajui SPRM,” menurut kenyataan itu.

Sebelum ini, Azam, 62, telah dua kali dilantik semula untuk jawatan itu masing-masing bagi tempoh setahun, iaitu dari 12 Mei 2023 hingga 11 Mei 2024 dan dari 12 Mei 2024 hingga 12 Mei 2025.

Beliau pertama kali dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 9 Mac 2020 menggantikan Latheefa Koya yang meletak jawatan lebih awal, selaras dengan Subseksyen 5(3) Akta SPRM 2009.

Azam merupakan nama yang tidak asing dalam landskap penguatkuasaan undang-undang dan pembanterasan rasuah negara.

Dilahirkan di Negeri Sembilan pada tahun 1963, beliau berkelulusan Diploma Kejuruteraan Elektrik (Kuasa) dari Universiti Teknologi Malaysia, Ijazah Sarjana Muda Jurisprudens dari Universiti Malaya, dan Ijazah Sarjana dari Asia e-University. – Sinar Harian

Related Posts