Negara

Dua lagi gegaran gempa bumi landa Kluang, Segamat

JOHOR BAHRU: Dua gegaran gempa bumi dikesan berlaku di Kluang dan Segamat sekitar jam 9 pagi, hanya beberapa jam selepas daerah Segamat dilanda gegaran pertama awal pagi Ahad.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) dalam kenyataan memaklumkan kejadian di Kluang direkodkan dengan magnitud 2.8 pada jarak kira-kira 28 kilometer barat laut daerah itu.

“Gegaran dirasai di beberapa kawasan di Johor, Negeri Sembilan, Melaka dan selatan Pahang.

Anggota APM melihat keadaan Surau Kampung Sanglang Buloh Kasap Segamat yang terjejas akibat gegaran gempa bumi pada awal pagi Ahad. Foto APM Johor

“Bagaimanapun, tiada ancaman tsunami kepada Malaysia. MetMalaysia akan terus memantau keadaan ini,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Johor mengesahkan satu lagi gegaran susulan turut berlaku di Segamat pada pagi sama.

Menurut APM, gegaran berkenaan dapat dirasai secara meluas di daerah tersebut dan setakat ini tiada laporan kecederaan atau kemalangan jiwa diterima.

“Penilaian awal mendapati terdapat beberapa kerosakan kecil dan siasatan lanjut sedang dilakukan. Anggota APM Segamat telah digerakkan untuk rondaan, pemantauan dan pemeriksaan di lokasi strategik.

“Turut sama terlibat ialah pihak polis, bomba, MetMalaysia dan penghulu,” jelas kenyataan itu.

Sebelum itu, Segamat digegarkan dengan gempa bumi bermagnitud 4.1 pada jam 6.13 pagi, namun tiada kemalangan jiwa atau kerosakan harta benda dilaporkan. – Sinar Harian

Related Posts