Mahkamah dan Jenayah Negara

Tengkorak, tulang manusia ditemui dalam ladang kelapa sawit

TANJUNG MALIM:  Polis sedang menjalankan siasatan berhubung penemuan rangka manusia di sebuah ladang kelapa sawit di Jalan Kuala Slim dekat Slim River, Ahad lalu.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, rangka tersebut dijumpai oleh orang awam yang ingin ke kebun berhampiran sebelum melaporkan kepada polis pada jam 5.13 petang.

“Siasatan dijalankan dengan bantuan Unit Anjing Pengesan (K9) PDRM telah menjumpai keseluruhan rangka manusia kecuali kedua belah tapak tangan.

“Rangka tersebut dihantar ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Menurut beliau, kes setakat ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut sehingga menerima hasil laporan bedah siasat.

“Polis memohon kerjasama orang ramai yang kehilangan ahli keluarga, saudara-mara atau kenalan agar dapat tampil bagi membantu siasatan dan mengenal pasti identiti mangsa.

“Mereka yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Raja Nabila Raja Abdul Samad di talian 012-2854320 atau 05-452 8222,” katanya. – Sinar Harian

Related Posts