Negara

‘Saya dah pulih, boleh teruskan bekerja’ – Tun M

KUALA LUMPUR: Tidak sampai 24 jam dibenarkan keluar dari Institut Jantung Negara (IJN) petang semalam, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini kembali ceria dan bersemangat meneruskan rutin biasa.

Dalam perkongsian video dimuat naik di Facebook rasmi beliau hari ini, Dr Mahathir dilihat mula keluar dari kediamannya kira-kira 10.15 pagi sebelum menaiki kenderaan.

Beliau ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan dilihat beramah mesra dan sempat bergambar dengan pengunjung.

Dalam video sama, Dr Mahathir juga mengambil kesempatan memohon maaf kerana terpaksa meninggalkan program Picnic & Potluck di Tasik Putrajaya pagi semalam lebih awal akibat keletihan.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama di waktu kita ada piknik (Picnic & Potluck) yang mana banyak ribu orang hadir.

“Tetapi oleh kerana saya rasa terlalu letih dan terpaksa berehat.

“Doktor suruh pergi hospital, saya pergilah tetapi baliklah (dibenarkan pulang petang) sekejap saja di hospital,” katanya menerusi rakaman video yang dimuat naik petang ini.

Dr Mahathir turut berkongsi keadaan kesihatan dirinya yang kini stabil.

“Sekarang ini saya dah pulih setelah dirawat doktor saya.

“(Kini) Saya boleh teruskan cara hidup saya iaitu bekerja,” katanya.

Dalam tempoh tidak sampai sejam dimuat naik, perkongsian itu meraih 214,000 tontonan serta lebih 15,000 tanda emoji dan 1,200 komen dengan ramai netizen mendoakan kesejahteraan Perdana Menteri keempat dan ketujuh berkenaan.

Semalam, media melaporkan Dr Mahathir terpaksa meninggalkan program Pincnic & Potluck lebih awal selepas keletihan sebelum dimasukkan ke IJN kira-kira 10 pagi.

Program yang berlangsung di Tasik Putrajaya bersebelahan Yayasan Kepimpinan Perdana itu diadakan sempena sambutan hari kelahiran ke-100 beliau serta ulang tahun kelahiran ke-99 isterinya, Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali. – Harian Metro

Related Posts