Negara Negeri

Terengganu bakal tubuh entiti petroleum sendiri

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Terengganu kini sedang merintis satu lembaran baharu apabila mengorak langkah untuk menubuhkan entiti petroleum miliknya sendiri menerusi kerjasama strategik dengan sebuah syarikat minyak dan gas dari Oman.

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, dua lapangan minyak telah dikenalpasti bersama rakan strategik luar negara dan rundingan awal bersama Petronas sedang berjalan untuk pengambilalihan operasi.

“Kita sudah mengenalpasti syarikat dari Oman sebagai rakan kongsi strategik dalam aktiviti pengeluaran minyak dan gas ini.

“Perbincangan awal telah dimulakan dengan Petronas untuk dua lapangan minyak yang dikenal pasti,” katanya semasa sesi penggulungan Usul Menjunjung Kasih di Wisma Darul Iman, di sini hari ini.

Menurut beliau, inisiatif ini adalah sebahagian daripada pelan menyeluruh Terengganu Inc bagi melengkapkan penglibatan GLC negeri dalam keseluruhan rantaian nilai industri petroleum, merangkumi aktiviti hiliran (downstream), pertengahan (midstream), dan servis huluan (upstream services).

“Kita kini dalam proses mengembangkan aktiviti ke segmen huluan bagi melengkapkan keseluruhan portfolio petroleum, termasuk downstream, midstream, dan upstream services.

“Ini perkara baharu yang tiada sebelum tahun 2018,” jelas beliau.

Beliau menambah bahawa pewujudan ‘Terengganu Petroleum’ akan menjadi landasan baharu untuk hasil jangka pertengahan negeri dan bakal muncul sebagai penyumbang utama kepada pendapatan kluster minyak dan gas GLC Terengganu.

“Kita sasarkan entiti petroleum ini sebagai pemacu utama hasil negeri dalam tempoh pertengahan.

“Ia akan mengurangkan kebergantungan kita kepada royalti semata-mata,” ujarnya.- TRDI News

Related Posts