KUANTAN: Pantai Sepat di sini antara lokasi pilihan penduduk untuk beriadah dan melakukan aktiviti air seperti mandi-manda pada cuti hujung minggu dan cuti umum.
Biarpun pantai lain seperti Teluk Cempedak, Batu Hitam, Balok, Kempadang dan Cherating turut menjadi pilihan, Pantai Sepat memiliki tarikannya tersendiri terutama kerana kedudukannya yang berhampiran kampung serta kemudahan disediakan Majlis Bandaraya Kuantan (MBK).
Namun, di sebalik keindahan Pantai Sepat, hakisan yang berlaku di pantai itu memerlukan perhatian dan tindakan segera oleh kerajaan bagi mengelak ia semakin memburuk.
Tinjauan di pantai berkenaan, baru-baru ini mendapati tebing pantai terhakis, malah turut memperlihatkan akar pokok.
Dipercayai hakisan mula berlaku kesan daripada ombak besar dalam tahun-tahun kebelakangan ini, ditambah ketika musim tengkujuh.
Pengunjung, Muhammad Harez Al-Khawarizmi Hanapi, 19, berkata, dia kerap beriadah di Pantai Sepat bersama teman untuk menikmati keindahan alam semula jadi dan mengurangkan tekanan.
Namun katanya, hakisan yang berlaku di pantai itu membimbangkan dan berharap langkah pencegahan segera dapat diambil untuk mengelak keindahan pantai hilang dalam tempoh jangka panjang dan mengancam nyawa pengunjung.
“Pantai Sepat kini semakin menjadi pilihan terutama ada cuti hujung minggu dan umum, tetapi jika masalah hakisan tidak ditangani segera, saya bimbang Pantai Sepat mungkin hilang tarikan.
“Oleh itu, saya harap langkah sewajarnya dapat dilakukan kerajaan melalui agensi yang berkaitan,” katanya.
Pandangan sama turut disuarakan Farhan Najmi Fadlie, 19, yang berkata, hakisan pantai dapat ditangani awal dengan membina benteng atau halangan ombak besar.
“Kebiasaannya ombak besar akan berlaku pada musim tengkujuh dan jika benteng ini dibina, ia boleh membantu masalah hakisan tebing,” katanya.
Dia berharap pantai yang sinonim sebagai kawasan rekreasi dan riadah penduduk di Pantai Timur sentiasa dijaga agar terus dapat dinikmati generasi mendatang. – Metro