Home Negeri150 Peserta Felcra Bukit Keladi Sertai Program Penerangan Pembahagian Pusaka

150 Peserta Felcra Bukit Keladi Sertai Program Penerangan Pembahagian Pusaka

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Seramai 150 peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi menghadiri Program Sehari Bersama Pewaris Felcra Kawasan Bukit Keladi di Dewan Sri Geliga, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini semalam.

Mereka terdiri daripada Peserta Projek Pasir Gagak, Peserta Projek Sungai Pergam PLBP (Pusat Latihan Belia Pertanian), Peserta Projek Bukit Keladi serta ahli Koperasi Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad (KPR).

Taklimat program disampaikan Penolong Pengarah Pembahagian Pusaka Dungun, Farah Najihah Mazlan. Turut hadir Pengurus Kawasan Felcra Bukit Keladi Berhad Abdul Mutalib Mohd Hanifah; Penolong Pengarah Kanan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Cawangan Kemaman Saffuan Fathi Md Shuhaimi; dan Pengerusi Koperasi Peserta Felcra Kawasan Bukit Keladi Kemaman Berhad Wan Abd Aziz Wan Othman.
Farah Najihah berkata rukun pusaka terbahagi kepada tiga iaitu kematian, pewaris dan harta.

banner

Beliau berkata, bagi menuntut harta pusaka, pewaris perlu mengemukakan sijil kematian yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kepada Pejabat Pembahagian Pusaka di negeri tempat si mati menetap.
“Bagi kes orang hilang, pewaris yang terdiri daripada ibu, bapa, suami, isteri, anak atau adik-beradik kandung serta firma guaman boleh memohon pengesahan rasmi kematian berdasarkan anggapan kematian di Mahkamah Tinggi Sivil mengikut Seksyen 108 Akta Keterangan 1950 (Akta 56).

“Permohonan boleh dibuat selepas individu berkenaan hilang atau tidak dapat dikesan melebihi tempoh tujuh tahun sebelum sijil anggapan kematian dikeluarkan oleh JPN,” katanya.

Beliau berkata, antara harta yang boleh dituntut termasuk harta tak alih seperti rumah dan hartanah, manakala harta alih merangkumi wang tunai, saham, kenderaan serta barang kemas. – Suara Timur

Tinggalkan komen