Negeri

‘Maaf, pimpinan kerajaan negeri tidak dapat sertai himpunan RXZ’ – Ahmad Samsuri

KUALA TERENGGANU:  Himpunan besar-besaran peminat motosikal RXZ di Litar Permotoran Gong Badak, Kuala Nerus pada Jumaat dan Sabtu menyaksikan tiada penglibatan wakil kerajaan Terengganu sebagaimana kebiasaan sebelum ini.

Perkara itu diakui Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menerusi hantaran di laman sosial rasminya pada Jumaat.

Dalam perkongsian tersebut, Ahmad Samsuri memohon maaf kerana tidak dapat menyertai acara yang ditunggu-tunggu peminat motosikal dua lejang dari dalam dan luar negara itu.

“Saya mohon maaf kerana tidak dapat bersama menunggang RXZ bagi meraikan anda semua.

“Apa boleh buat, bila politik berpanjangan 24 jam dengan syarat itu dan ini, akhirnya saya dan pimpinan kerajaan negeri yang sentiasa bersama anda telah ditiadakan,” tulisnya.

Ahmad Samsuri turut menyifatkan situasi itu sebagai contoh politik sempit yang cuba mempolitikkan program berkenaan.

“Akhirnya, tak pasal-pasal RXZ menjadi mangsa politik cemburu orang Putrajaya/KL. Inilah contoh politik ‘low class’ yang saya selalu sebut. Orang Terengganu kata ‘politik komang spanar’,” katanya.

Walaupun tidak dapat hadir, Ahmad Samsuri menitipkan sembilan pesanan kepada peserta, antaranya menunggang motosikal dengan berhati-hati, mengutamakan keselamatan serta menjaga ibadah solat sepanjang perjalanan.

“Tungganglah motor dengan hati-hati dan cermat. Semoga selamat sampai dan pulang.

“Jangan lupa jaga solat dan amalkan kebaikan sepanjang perjalanan,” tulisnya. – Sinar Harian

Related Posts