Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir, disini berjaya mengeluarkan hasil berjumlah RM100,000 semusim.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Seberang Tayur Hilir, Ab. Khalid Kamaludin berkata, tanaman jagung seluas lebih 15 ekar itu di sertai 22 peserta di bawah Program Sejati Madani, Jabatan Perdana Menteri melalui Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dengan bantuan pelbagai agensi seperti, Jabatan Pertanian, Peladang dan FAMA.
Seorang peserta projek tanaman jagung, Azlinawati Awang berkata, tanaman jagung manis tidak terlalu rumit dan dalam masa dua bulan kami sudah menuai hasil.

“Kami mula menanam jagung pada Februari lalu dan menuai pada April. Purata pendapatan peserta bagi musim lalu sebanyak RM8,000 hingga RM11,000 seorang.
‘Sekarang kami mula menuai hasil bagi musim kedua dan kami berharap dapat menanam sebanyak tiga musim sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui Suara Timur di Projek Tanaman Jagung Manis Berkelompok, di Kampung Seberang Tayur Hilir di sini hari ini.
Buat sementara ini kami hanya menjual kepada penduduk setempat dan sekitar. Jika berlaku lambakan jagung kami bercadang memasarkan melalui FAMA. – Suara Timur