Home NegeriPersatuan alumni bantah penutupan asrama YT Kemaman

Persatuan alumni bantah penutupan asrama YT Kemaman

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN: Persatuan Alumni Penghuni Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (PAPAYTK) membantah keputusan Yayasan Terengganu (YT) yang mahu menutup asrama itu yang telah hampir 40 tahun membantu pelajar B40 mendapatkan akses pendidikan.

Pengerusinya, Mohd Rohaimi Yusof berkata, meskipun persatuan itu menghormati keputusan kerajaan negeri, namun pihaknya berharap keputusan penutupan asrama itu dikaji semula dengan lebih teliti demi masa depan pelajar.

“Tempoh enam bulan yang diberikan untuk menutup asrama itu secara berperingkat hingga Jun tahun depan juga dilihat terlalu singkat dan drastik yang boleh menjejaskan akademik dan emosi pelajar.

banner

“Kebajikan kira-kira 150 pelajar di asrama itu mesti menjadi keutamaan khususnya mereka yang datang daripada keluarga berpendapatan rendah,” katanya.

Katanya, sejak awal ditubuhkan, Asrama Yayasan Terengganu Kemaman (AYTK) berperanan membantu anak-anak kampung dan keluarga berpendapatan rendah mendapatkan peluang pendidikan yang setara dengan pelajar bandar dengan pelbagai kemudahan seperti asrama yang selesa, kelas bimbingan Al-Quran dan kelas malam yang sukar diperoleh pelajar B40.

Mohd Rohaimi berkata, pihaknya juga bimbang penutupan asrama itu dapat membawa implikasi lain kepada pelajar termasuk penempatan baharu yang tidak kondusif, gangguan akibat pertukaran sekolah, asrama dan guru serta rakan di pertegahan penggal.

“Ibu bapa hanya dimaklumkan mengenai penutupan asrama itu pada 3 Disember lalu menerus aplikasi WhatsApp dan kami berpendapat pihak pengurusan sepatutnya mengadakan perbincangan dan sesi libat urus secara bersemuka dengan ibu bapa, pelajar dan alumni sebelum sebarang keputusan diambil,” katanya.

“Alasan asrama itu ditutup untuk menggantikan Sekolah Menengah (SM) Imtiaz swasta juga dilihat tidak wajar kerana kedua-duanya mempunyai mandat yang berbeza, Imtiaz adalah untuk pelajar cemerlang manakala AYTK untuk pelajar sederhana yang memerlukan bimbingan.

“Sudah ada lapan buah SM Imtiaz di negeri ini dan pelajar berprestasi tinggi mempunyai pilihan tanpa perlu dikorbankan satu-satunya asrama untuk pelajar golongan sederhana,” katanya.

Menurutnya, keputusan menutup AYTK juga perlu dikaji semula dan kemudahan itu telah banyak mengubah kehidupan ramai pelajar B40. – Suara Timur

Tinggalkan komen