Home NegeriPenduduk Bandar Ceneh Baharu bimbang gajah liar ceroboh kawasan rumah

Penduduk Bandar Ceneh Baharu bimbang gajah liar ceroboh kawasan rumah

oleh suara timur

Oleh MUKHATAR A. RAHMAN

KEMAMAN:  Lebih 2,000 penduduk di Perumahan Peringkat Empat, Bandar Ceneh Baharu di sini hidup dalam kebimbangan berikutan kehadiran sekumpulan gajah liar yang berkeliaran dan memasuki kawasan kediaman mereka sejak kebelakangan ini.

Dalam kejadian terbaharu kira-kira pukul 1 pagi tadi, beberapa ekor gajah dipercayai keluar dari kawasan hutan simpan berhampiran sebelum memasuki kawasan perumahan dan merosakkan pelbagai tanaman penduduk termasuk pokok pisang dan kelapa di bahagian belakang rumah.

Tinjauan hari ini mendapati kumpulan gajah liar berkenaan berada terlalu hampir dengan kediaman penduduk sehingga menimbulkan kebimbangan terhadap aspek keselamatan mereka.

banner

Seorang penduduk, Mohd Noor Omar, berkata, dia terkejut selepas mendapati dua ekor gajah berada betul-betul di hadapan pintu dapur rumahnya ketika mahu memeriksa bunyi bising yang didengari dari bahagian belakang rumah



“Saya terdengar bunyi di belakang rumah lalu membuka langsir untuk melihat keadaan, tetapi gelap. Pada mulanya saya sangka babi hutan. Saya kemudian membuka pintu dapur dan menyuluh sebelum terkejut melihat dua ekor gajah berada sangat dekat dengan rumah,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.

KUMPULAN gajah liar berkeliaran dan memasuki kawasan kediaman penduduk di uduk di Perumahan Peringkat Empat, Bandar Ceneh Baharu, Kemaman. – SUARA TIMUR/ MUKHATAR A. RAHMAN

Beliau berkata, dia segera menutup pintu dapur dan meminta isterinya bersiap sedia untuk menyelamatkan diri melalui pintu hadapan rumah sekiranya keadaan menjadi tidak terkawal.

Sementara itu, isterinya, Hasnah Jusoh berkata, dia hampir pengsan akibat terlalu takut selepas melihat haiwan liar bersaiz besar itu berada begitu hampir dengan kediaman mereka.

“Kami memang takut sebab gajah itu berada betul-betul di tepi rumah. Kami hanya mampu berdoa supaya haiwan itu tidak bertindak agresif dan berharap pihak Perhilitan dapat mengambil tindakan segera,” katanya.

Seorang lagi penduduk, Abdul Latif Rashid berkata, penduduk kini hidup dalam kebimbangan kerana kumpulan gajah liar berkenaan semakin kerap memasuki kawasan perumahan dan merosakkan tanaman mereka.

Beliau berharap pihak berkuasa dapat melakukan pemantauan berterusan serta mengambil langkah segera bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku kepada penduduk.

“Kami harap pihak berkaitan dapat menghalang gajah ini daripada terus datang ke kawasan rumah kerana ia boleh mendatangkan bahaya kepada penduduk,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) Peringkat Empat, Wan Nordin Wan Omar berkata, pihaknya telah memaklumkan perkara tersebut kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata pihak Perhilitan diharap dapat meningkatkan pemantauan di kawasan terlibat memandangkan kejadian itu menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk setempat. – Suara Timur

Tinggalkan komen