Home NegeriDetik cemas 10 minit: Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu selamatkan pelajar

Detik cemas 10 minit: Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu selamatkan pelajar

oleh suara timur

KUALA TERENGGANU: Tindakan pantas Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Asisten Komisioner Azli Mohd Noor berjaya menggagalkan cubaan seorang pelajar perempuan berusia 14 tahun untuk terjun dari tingkat dua bangunan sebuah sekolah menengah, di sini, hari ini.

Azli yang dihubungi berkata, dalam kejadian jam 9.30 pagi, beliau mengambil masa kira-kira 10 minit memujuk mangsa yang berada dalam keadaan tertekan dan memegang sebilah pisau supaya membatalkan hasratnya.

“Selepas mangsa berjaya ditenangkan, saya menghampiri pelajar berkenaan sebelum menarik tangan dan membawanya ke tempat selamat.

“Mangsa kemudian dibawa ke bilik rehat sekolah sebelum dikejarkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

banner

Difahamkan, mangsa masih menerima rawatan di hospital berkenaan.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Kuala Terengganu, Thoiyibah Taib berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 9.33 pagi sebelum tujuh anggota bersama sebuah jentera LFRT dan sebuah kenderaan utiliti dikejarkan ke lokasi.

Menurutnya, sebaik tiba di sekolah berkenaan, anggotanya mendapati pelajar terbabit berada dalam keadaan agresif sambil memegang sebilah pisau dan berada di tingkat dua bangunan sekolah.

Menurutnya, maklumat awal daripada pihak sekolah memaklumkan pelajar itu dipercayai ada menulis mengenai hasrat untuk mencederakan diri di dalam buku latihan.

“Anggota bomba turut membantu menenangkan keadaan dan bersedia memberikan bantuan sehingga mangsa berjaya dibawa ke tempat selamat sebelum diserahkan kepada pihak kesihatan untuk tindakan lanjut,” katanya. – Metro

Tinggalkan komen