Oleh MUKHATAR A. RAHMAN
KEMAMAN – Pelaksanaan program Satu Sekolah Satu Silat (1S1S) boleh menjadi satu langkah efektif ke arah membanteras kes buli di sekolah di samping menjadi landasan bagi melahirkan atlet silat berpotensi di pentas antarabangsa.
Pelaksanaan program itu yang kini sudah hampir lapan tahun menjadikan seni silat sebagai aktiviti sukan utama membabitkan penyertaan menyeluruh murid tanpa mengira latar belakang mereka.
Pengerusi program, Bibi Aisyah Golbal Shah berkata, melalui pendekatan itu pelajar bukan setakat belajar seni mempertahan diri malah berupaya membina disiplin, rasa hormat, dan setia kawan.

Beliau yang juga Setiausaha Persekutuan Silat Kebangsaan Malaysia (PESAKA), berkata, pengisian latihan yang dapat membentuk sahsiah pelajar sekali gus mengurangkan berlakunya buli.
Menurutnya, di gelanggang, tiada jurang antara umur atau latar belakang dan setiap gerakan silat mengajar erti hormat, setiakawan dan keberanian serta nilai-nilai adab manusia.
“Penganjuran pertandingan seni silat di peringkat sekolah, daerah dan negeri akan menjadi pentas dalam mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili negara dalam kejohanan dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program Malam Silaturahim Satu Sekolah Satu Silat, peringkat Negeri Terengganu dan Peluncuran Pewaris Silat Malaysia, di sini, malam tadi.
Turut hadir, Presiden Pesaka, Datuk Wira Megat Zulkarnain Omar Din, Pengerusi Persatuan Pewaris Silat Malaysia, Datuk Seri Mohamed Rahim Hussin, Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin.
dan Timbalan Pengarah Jabatan Pendidikan Terengganu, Abdul Razak Muda.
Sementara itu, Abdul Razak pula berkata, pihaknya berharap lebih banyak lagi sekolah mewujudkan silat sebagai satu wadah untuk menjaga warisan budaya kita, disamping memelihara atau membina karekter murid. – Suara Timur