Home PolitikPRN Sabah: BN tawar 6 teras utama dalam manifesto

PRN Sabah: BN tawar 6 teras utama dalam manifesto

oleh suara timur

KOTA KINABALU: Barisan Nasional (BN) pada Sabtu melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah ke-17 dengan memperkenalkan Rancangan Pembangunan Sabah Satu (RPS1) yang menawarkan enam teras utama kepada rakyat Sabah jika diberi mandat untuk memerintah kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri ke-17 (PRN17).

Bendahari UMNO Sabah, Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata, RPS1 dirangka secara komprehensif merangkumi aspek Kemakmuran Ekonomi dan Kesejahteraan Hidup, Wanita dan Orang Muda sebagai Tonggak Negara, serta Pendidikan Berkualiti Untuk Semua.

Beliau yang juga calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Usukan berkata, RPS1 turut menekankan agenda Transformasi Politik dan Tadbir Urus, Masyarakat Sihat dan Negeri Berkebajikan serta Kelestarian Sumber Alam.

Beliau berkata, menerusi enam aspek itu, pelbagai program dan dasar akan dilaksanakan.

banner

“Antaranya penubuhan Dana Kemakmuran Sabah, pembinaan rumah Rumah Sabahku, lapangan antarabangsa baharu, skim belian makanan tunai.

“Memastikan 30 peratus penglibatan wanita sebagai pembuat dasar, rumah untuk belia sifar deposit dan Dana Belia Negara.

“Skim insentif sebanyak RM2,000 hingga RM2,500 kepada anak Sabah yang melanjutkan pendidikan ke universiti awam atau swasta,” katanya ketika menyampaikan manifesto UMNO Sabah di Pejabat UMNO Sabah, di Kota Kinabalu, pada Sabtu.

Turut hadir pada pelancaran yang diadakan di Bangunan UMNO Sabah di sini ialah Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Pengerusi BN Sabah, Datuk Seri Bung Moktar Radin; Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Pengerusi Wanita BN, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad dan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Katanya, selain itu UMNO Sabah akan mewujudkan enam Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) lantikan tempatan kerana lebih 33 kaum di Sabah dan semua perlu terlibat.

“UMNO Sabah penubuhan Majlis Petroleum Sabah bagi memelihara kepentingan Sabah dan mewajibkan pengambilan minimum 50 peratus pekerja anak Sabah.

“Kita juga akan meneroka tenaga boleh diperbaharui dan membina loji tenaga elektrik biojisim di pedalaman,” katanya. – Sinar Harian

Tinggalkan komen